Terdapat seorang pemuda pada zaman Rasulullah SAW,yang baik dan rajin beribadah. Suatu hari, pemuda tersebut datang menemui Rasulullah SAW dan menyatakan hajatnya dan meminta pandangan daripada Rasulullah untuk mengahwini seorang gadis yang solehah. Maka Rasulullah pun memberi kebenaran kepadanya. Setelah mendengar kata-kata Rasulullah,maka pemuda tersebut menemui wali gadis tersebut iaitu bapa kepada gadis yang dihajatinya. Maka dinyatakan hasrat hati pemuda itu untuk mengahwini anak gadis lelaki tersebut. Pemuda tersebut tidaklah selembut Abu Bakar,tidaklah segagah Umar al-Khattab, tidak sekaya Abdul Rahman bin Auf dan tidak pula setampan Ali bin Abu Talib. Maka ditolak permintaan pemuda tersebut kerana dirasakan tidak sepadan pemuda itu untuk mengahwini anak gadisnya yang ternyata menjadi buruan para pemuda lain.
Setelah itu,pulanglah pemuda itu dengan
hampa kerana hajatnya itu tidak diterima oleh bapa si gadis. Ternyata,
perasaan hampa pemuda itu jelas terlihat pada wajahnya dan pemuda
tersebut datang menemui Rasulullah untuk memberitakan bahawa hajatnya
itu ditolak. Mendengar khabaran tersebut,maka Rasulullah SAW sendiri
menemui wali gadis tersebut dan mengatakan bahawa,”sesungguhnya aku
membawa pinangan dari seorang pemuda untuk anak gadismu”. Bapa gadis itu
bertanya,”siapa pemuda tersebut?” Rasulullah menjawab,dialah pemuda
yang engkau tolak pinangannya.” Mendengar kata-kata Rasulullah,lantas
membuatkan bapa gadis itu terkejut lantas bapanya mendapatkan anak
gadisnya. Maka, gadis yang solehah itu berkata pada bapanya,”tiada
pinangan yang lebih baik daripada pinangan yang dibawa oleh Rasulullah
sendiri.”
Mendengar kata-kata anak gadisnya yang
yakin akan kebenaran dan barakah yang dibawa oleh Rasulullah,maka
fahamlah bapanya bahawa anak gadisnya sedia menerima pemuda tersebut
sebagai suaminya.
Maka bersatulah dua jiwa yang
sama-sama ada cinta Allah dan Rasul di hati mereka. Berpadu dan
bertambah kuat cinta mereka pada Allah dan Rasul. Pemuda yang soleh dan
gadis yang solehah. Pada malam pertama selepas pernikahan, si isteri pun
mempersiapkan diri untuk menerima layanan dari tetamu
istimewanya,manakala si suami,pemuda itu tadi terus berteleku di tikar
sembahyang dengan solat, zikir dan doanya sehinggalah si isteri itu terlena kerana terlalu lama menunggu.
Malam kedua, seperti biasa si isteri
yang faham,mungkin kerana kepenatan,maka suaminya tidak dapat bersamanya
semalam. Masih setia menunggu suaminya itu, namun si suami masih
memilih untuk berada di hamparan tikar sembahyang berbanding menikmati
keselesaan hamparan tilam lembut yang selayaknya sebagai pengantin yang
dirai. Perkara tersebut berlanjutan sehinggalah ke malam yang ketiga.
Maka dengan rasa tertanya-tanya terhadap sikap suaminya, si isteri
menyampaikan khabar suaminya kepada Rasulullah kerana inginkan
kepastian. Masakan seorang suami yang sangat ingin berkahwin dengan
wanita yang dihajatinya, seolah-olah membiarkan sahaja isterinya itu
setelah mendapat apa yang dihajati. Apakah benar tindakan yang dilakukan
seorang lelaki soleh terhadap isterinya? Berbagai-bagai pertanyaan
timbul di benak fikiran isteri. Setelah khabar tersebut sampai ke
pengetahuan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW datang menemui pemuda
tersebut lantas bertanya tentang kesahihan apa yang diketahui Baginda
SAW.
“Apakah benar selama kau berkahwin dengan
isterimu,kau membiarkan dia keseorangan pada waktu malam sedangkan kau
berada di tikar sembahyang?” Tanya Rasulullah SAW.
“Benar wahai Rasulullah.”
“Mengapa kau tidak tunaikan hak yang sepatutnya isterimu nikmati?”
Maka pemuda itu menjawab pertanyaan Rasulullah dengan tenang.
“Wahai Rasulullah, aku baru sahaja
bernikah, dan aku hanya mengambil beberapa malam bermula aku dinikahkan
untuk bersama Allah,mengabdikan diriku sepenuhnya kepada Allah yang
sangat aku kasihi dan cintai,juga sebagai tanda syukurku kepada Allah
atas anugerah-Nya mengurniakan aku seorang isteri yang solehah lagi
cantik akhlak dan budinya.”
Mendengar jawapan itu, terlakar pada riak
wajah Rasulullah tanda puas hati dan yakin dengan jawapan yang diberikan
pemuda tersebut.
Masya-Allah,betapa hebatnya jiwa
seorang pemuda. Pemuda yang sentiasa tertaut hatinya kepada cinta Allah.
Pernikahannya itu benar-benar ikhlas kerana Allah. Mengharapkan semaian
cinta Allah melalui pernikahan.
2 comments:
MOHON izin untuk Pak Lang masukkan kisah ini di dalam blog Pak Lang; http://suaramuhajirin313.blogspot.com
MOHON izin untuk Pak Lang masukkan kisah ini di dalam blog Pak Lang; http://suaramuhajirin313.blogspot.com
Post a Comment