Terima Kasih krn sudi FOLLOW blog saya (^_^)

Showing posts with label Tarbiyyahtunna. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyyahtunna. Show all posts

Monday, December 27, 2010

perjuangan adalah pelaksanaan setiap kata-kata yang dilontarkan.

Alhamdulillah..

Tarikh keramat 20-24 Disember 2010. Betempat di Kedah Darul Aman. Pengalaman yang amat berharga dan tidak dapat dijual beli. Pendedahan baru dalam medan perjuangan. Dapat melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat yang bersama-sama dalam mewakafkan diri untuk perjuangan Islam. Bekerja untuk Islam!.

Ikutkan kudrat, memang diri ini tidak mampu untuk bergerak. Apatah lagi jarak perjalanan yang jauh. Badan masih lemah. Demam masih belum pulih. Namun, ditekadkan hati jua. Digagahkan langkah untuk meneruskan perjalanan. Entah mana kekuatan itu datang. Hanya berserah diri pada Allah. Memohon pada Allah agar jasmani kuat dalam meneruskan langkah. Semuanya untuk Allah.

Hari-hari sebelum itu dipenuhi dengan teori-teori untuk berjuang di jalan Allah. Alhamdulillah, peluang yang ada selepas itu digunakan sebaiknya untuk mempraktikkan segala ilmu-ilmu yang diperoleh. Bercakap itu mudah. Tetapi, realitinya?. Berapa orang yang sanggup untuk turun di medan perjuangan?. Benar, perjuangan adalah pelaksanaan setiap kata-kata yang dilontarkan.





sumber: http://iqomatuddin.blogspot.com

>>>

Dakwah bukan untuk orang yang malas. Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri. Dakwah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa. Dakwah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti yang senang dan mudah join. Yang penat, bersusah payah, elak. Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh Tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.

Bukan bagi yang meletakkan dakwah hanya untuk mencari calon akhawat atau ikhwah sebagai sang isteri dan suami, yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman bila dia dalam kesusahan. Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.

Yang cepat mengalah, yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah, dan tathqif dalam diari hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara ‘penting’ yang lain. Yang hanya pandai bercakap dan menulis, tapi amal kosong.

Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa’dan usrah hanya kerana nak disebut sebagai orang yang ditarbiyah. Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute. Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah. Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh. Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang air-cond, dan laju. Yang tak nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.

Dakwah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya tunggu information.
Dakwah bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot. Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.

Ingat…

Tanpa anda, orang yang sering beralasan ini, dakwah akan terus berjalan. Islam akan tetap berjaya. Ummah akan tetap terpelihara. Cuma, tanpa tarbiyyah,
tanpa dakwah, belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti…INGAT TU.

Tak mengapa...

Teruskan hidup anda seperti biasa. Dakwah tak memerlukan anda. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda. Berbahagialah seadanya.

Saya menghitung diri. Terlalu kerap menuturkan “saya busy..saya sibuk..saya penat..saya letih..” Adakah ini petandanya saya terlalu MANJA?
Ya Allah, tabahkan hamba-Mu.

Thursday, November 18, 2010

Ada orang bertanya..couple ni boleh atau tidak sebenarnya?.

Couple itu HARAM ???

p/s: terima kasih kpd adik sakinah...bertanyakan soalan ni...sekurang-kurangnya dapat ulangkaji balik tentang persoalan bercouple ni...masih ramai lagi yg kurang jelas tentang persoalan couple... sedikit perkongsian>>>

Bismillahirrahmanirrahim..



EPISOD 1

"Pehh..cun siot !", kata si A sambil membuat bunyi cencurut laut Antartika.

"Ni kalo jadi bini aku ni tak kuar umah la aku nampaknye", kata si B pulak sambil mengenyit-ngenyit matanya yang hanya terbuka setengah sentimeter (cm).

"Huiyyo.. (terkesima)", tak lepas pandangan si C melihat si dia yang terkinja-kinja di tepi jalan. Hampir sahaja cecair yang mengandungi enzim amilase di mulutnya terkeluar daripada tempat tadahan.

Beginilah respon kawan-kawan kita apabila melihat perempuan cantik. Pantang lalu depan mata, habis semuanya dipanah oleh mata-mata liar. Mungkin mereka tidak tahu bahawa panahan mata itu akan berbalik pada mereka sendiri akhirnya. Sedih. Kadang-kadang aku sendiri tak kuat untuk istiqomah dalam hal-hal macam ni. Tapi sentiasalah berdoa moga-moga diberi kekuatan oleh Allah S.W.T. supaya kita dapat melawan dan mendidik nafsu yang tak pernah lesu.

Menjaga pandangan bukannya perkara yang boleh dipandang remeh. Ia merupakan suruhan Allah S.W.T. kepada setiap individu Muslim yang beriman.

Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nur ayat 30 :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."

Juga dalam Surah An-Nur ayat 31 :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.."

Jika seseorang individu itu tidak menjaga pandangannya, mungkin dia akan terjebak ke dalam maksiat yg lebih besar iaitu ZINA. Kalau ditafsirkan pemerhatian dan mungkin sedikit pengalaman aku, sequence ke arah zina ni lebih kurang begini:

Pandangan > Lintasan hati > Khayalan > Keinginan > Tindakan > Zina kecil > Zina besar


Sebenarnya sequence ni memang reliable jika difikir secara logik akal yang sihat. Malah, ramai ulama-ulama dan ustaz-ustaz yang berpendapat sama seperti pendapat yang aku terangkan di atas tu, iaitu zina besar bermula daripada zina kecil, yang akhirnya bercambah menjadi dahan-dahan maksiat yang merimbun. Zina bermula dengan pandangan yang tidak terkawal. Daripada pandangan sedemikian, kita semakin mendekati zina.


Untuk lebih faham lagi konsep 'mendekati' di sini, kita ambil satu contoh. Katakan Ali ingin ke kedai yang jaraknya, let say 1220 langkah. Apabila Ali melangkah setapak keluar daripada rumah itu sahaja dia sudah dikira mendekati kedai tersebut, setuju? Jadi, pandangan yang tidak terkawal itu ibarat langkah pertama ke arah zina.

Part 'Tindakan' tu dah bersepah di merata-rata tempat. Paling berlambak di shopping complex & universiti. Untuk pengetahuan anda, disekeliling aku pun ada sebenarnya. Apa benda 'Tindakan' yang aku maksudkan ni sebenarnya? "COUPLE".full stop.

Jika pandangan sahaja dah dikhuatiri akan membawa kepada zina, apatah lagi bercouple? Orang yang berakal sihat sepatutnya tiada masalah nak jawab soalan ni.

Aku anggap mereka yang bercouple ini tidak tahu hukum yang sebenarnya. So, artikel ni adalah bertujuan untuk berkongsi dan MEMBERI TAHU. Jika ada sesiapa yang tengah bercouple atau hampir nak bercouple,dan merasakan maklumat dalam artikel ni akan menghalang niatnya untuk bercouple, maka hati-hati. Syaitan itu sentiasa mengajak ke arah kejahatan. Jika ingin mengikut nafsu syaitan juga, then go for it. Tapi ingat azab Allah di akhirat nanti takkan ada penangguhan.Selepas membaca artikel ni fikirlah kenapa Islam mengharamkan gejala 'couple' sebelum nikah.

( Artikel yang dimaksudkan penulis : JANGAN DEKATI ZINA smiley-cool )

EPISOD 2

InsyaALLAH dalam Episod 2 ni aku nak tekankan lagi mengenai penjelasan 'mendekati' atau 'menghampiri' kerana aku merasakan bahagian ni penting untuk kita fahami betul-betul supaya kita dapat mematuhi perintah Allah S.W.T. dalam surah Al-Isra' ayat 32 iaitu :

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Terang lagikan bersuluh. Kekejian perbuatan zina ini bukan dinyatakan oleh manusia, tetapi dinyatakan oleh Yang Maha Mengetahui. Apabila Allah S.W.T sendiri mengatakan zina ini keji dan satu jalan yang buruk, sudah pasti kecelakaannya maha dahsyat.

Berbalik kepada penjelasan tentang 'menghampiri', sedangkan menghampiri zina sudah diharamkan, inikan pula melakukannya. Contoh menghampiri zina adalah seperti melihat gambar lucah, berdua-duaan lelaki dan wanita ajnabi, pergaulan bebas antara jantina berlainan (ikhtilat) dan juga melihat aurat orang lain.

(contoh yang paling banyak : berjalan berdua-duaan dan beriring-iringan. Walaupun tak berpegangan tangan, tapi amat menjelikkan)

Kuatkanlah hati kita wahai kawan-kawanku sekalian, supaya kita berupaya menegakkan kebenaran yang satu ini. Jangan sesekali diikut tuntutan nafsu. Jangan sesekali patuh pada ajakan syaitan laknatullah dan tertipu dengan tipu daya mereka. Ingatlah bahawa mereka pernah menipu moyang kita, Nabi Allah Adam a.s. dan Hawa.

Surah Al-A'raf ayat 20 :

"Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)."

Jika kita lihat Surah Al-A'raf ayat 19, Allah telah berfirman kepada Adam dan Hawa supaya jangan MENGHAMPIRI sepohon pokok di syurga. Larangan sebenarnya adalah supaya Adam dan Hawa tidak memakan buah pokok tersebut.

"Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim."


Merujuk kepada larangan Allah S.W.T. kepada kita supaya tidak menghampiri sesuatu itu, amat jelas bahawa perkara yang dilarang itu dapat memberi mudarat yang besar sehinggakan menghampirinya pun tidak dibenarkan! Ini bertujuan untuk menghindari perkara-perkara mungkar sehingga ke akar-akarnya. Lihatlah betapa kasihnya Allah kepada kita.

Adakah kita ingin mengulang kesilapan Adam dan Hawa sedangkan pengajaran sudah ada di depan mata? Bodohlah orang-orang yang membutakan mata hatinya tanpa ingin mengambil pelajaran.

Mengikut kaedah usul fiqh, sesuatu yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram. So, equation ber'couple' sebelum nikah adalah :

couple = menghampiri zina
menghampiri zina = haram
maka, couple = haram (very simple equationsmiley-wink )

Tapi, juga ingin diingatkan di sini, apabila ber'couple' sebelum nikah itu hukumnya haram, bukanlah bermakna kita boleh bergaul dengan jantina berlawanan sesuka hati dengan menjadikan alasan "kami tak bercouple, kami hanya berkawan".

Berbalas-balas mesej di YM dan tidak lupa mengucapkan selamat pagi dan malam kepada 'kawan'nya yg satu itu diselangi dengan perbualan telefon yang berpanjangan tanpa membicarakan hal-hal yang penting bukanlah jaminan bahawa kita tidak mendekati zina. BUKAN PERKATAAN 'COUPLE' ITU YANG MEMBUATKAN HUKUMNYA HARAM MELAINKAN PERBUATAN KETIKA BER'COUPLE' ITU SENDIRI. Jika anda tidak ber'couple' sekali pun anda dilarang bergaul bebas tanpa batas syara' antara lelaki dan wanita ajnabi.

Ada suatu ketika seorang kawan mempersoalkan tentang bagaimana hendak mengenal calon suami/isteri jika tidak ber'couple'. Ingatlah bahawa Islam itu bersifat syumul. Tidak ada suatu hal pun tidak diajar oleh Islam. Islam telah pun menyediakan garis panduan yang paling sempurna tanpa melibatkan maksiat dalam hal berkaitan mengenali pasangan untuk tujuan pernikahan.

Amat menyedihkan apabila orang Islam sendiri yang menanyakan soalan sebegini. Ia tidak sepatutnya berlaku. Apa ertinya kita menganut Islam jika kita tidak mengetahui ajaran-ajarannya?

Tapi tidak mengapa, inilah tujuan saya menulis tulisan sebegini untuk berkongsi ilmu dan memberitahu. Untuk soalan tadi, kita sambung seterusnya...



EPISOD 3: Cara-cara mengenali pasangan selain daripada ber'couple'.

Sebagai agama yang paling sempurna dan satu-satunya agama yang diredhai Allah, Islam telah pun menggariskan panduan untuk diikuti oleh penganutnya berkenaan hal pra-perkahwinan. Cara yg dianjurkan Islam untuk pasangan yang ingin berkahwin kenal-mengenali adalah melalui cara pertunangan.

Tapi amat menyedihkan apabila paradigma masyarakat tentang konsep pertunangan sudah tersimpang jauh dari kebenaran. Buktinya, pertunangan yang sepatutnya dijadikan tempoh untuk lelaki & wanita HANYA saling mengenali telah dijadikan 'lesen' untuk pasangan tersebut berdua-duaan tanpa mahram, ibarat pasangan yang sudah bernikah. Konsep ini salah sama sekali !

Memetik kata-kata Ustaz Hassan Din dalam Al-Kuliyyah di bawah topik "Jodoh" di TV3 bertarikh 28 Julai 2006 berkenaan konsep pertunangan dalam Islam, beliau berkata, "Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan wanita akan saling mengenali antara satu sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan."

Sebagai contoh, katakan Superman sudah bersedia untuk berkahwin (maksud 'bersedia' di sini adalah bersedia dari segi kewangan, keadaan, mental serta fizikal). Dan sekarang adalah masa yang sangat sesuai dan ideal untuknya mendirikan rumah tangga. Pada masa yang sama juga dia sudah mempunyai calon sendiri, katakan si 'Cinderella' (bukan nama sebenar).

Superman berhasrat untuk memperisterikan si 'Cinderella'. Superman yang sangat faham akan konsep pertunangan pun terus berjumpa dengan kedua ibu bapa si 'Cinderella' dan menyatakan hasratnya untuk menyunting bunga rafflesia di taman (merisik). Apabila ibu bapa si 'Cinderella' sudah bersetuju dan si 'Cinderella' juga sudah bersetuju apabila diberitahu oleh ibu bapanya, Superman pun menghantar rombongan keluarganya untuk meminang si 'Cinderella'. Tidak timbul langsung hal-hal maksiat kan? Kan cantik tu. Dan apabila si 'Cinderella' sudah menjadi tunangan Superman, maka HARAM bagi lelaki lain meminang si 'Cinderella', walaupun lelaki itu adalah 'Professor Gadget' (bukan nama sebenar).

"Lelaki boleh la, kalau perempuan? Takkan perempuan nak merisik lelaki pula, perigi cari timba namanya tu". Mungkin inilah suara-suara yang bakal berkumandang memberikan respon. Ok. Mari kita sama-sama menelusuri kembali sirah perkahwinan agung, Muhammad S.A.W. dan Siti Khadijah r.a.. Saya yakin ramai yang akan mengakui bahawa perkahwinan agung ini dimulakan oleh Siti Khadijah r.a. dahulu. Ini telah pun diajar dalam subjek Sirah di sekolah agama. Pada mulanya, Siti Khadijah r.a. menyatakan hasrat hatinya kepada pakcik Rasulullah S.A.W. iaitu Abbas, agar merisik baginda.


Setelah baginda bersetuju, barulah keluarga baginda menghantar rombongan meminang Siti Khadijah r.a.. Begitulah yang diajarkan sirah kepada kita. Lalu, apa salahnya jika wanita yg memulakan dahulu? Malah wanita sebegini lebih mulia daripada wanita yang hanya menunggu dipinang oleh putera raja kayangan.

Ustaz Hassan Din juga turut menegaskan bahawa pasangan yang bertunang diharamkan bergaul bebas seperti suami isteri. Mereka masih tetap terikat dengan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi. Tempoh bertunang hanyalah tempoh kenal-mengenal, bukannya tempoh melayan-layan perasaan cinta. Beliau menambah,

"Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak."

Jika konsep pertunangan ini dilihat dengan mata hati yanang diselaputi iman dan taqwa, akan terzahir berbagai hikmah yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Bijaksana. Selain menghindari maksiat, pertunangan juga dapat memelihara maruah kedua-dua keluarga yang terlibat. Kalau pun pertunangan diputuskan, kedua-dua pihak keluarga masih dapat meneruskan silaturrahim yg sudah terbina, tanpa rasa dendam dan benci.

Maka dengan lahirnya ketiga-tiga episod ni, diharap jelaslah kepada kita serba sedikit tentang hukum ber'couple' sebelum nikah dan bagaimana cara yang sebenarnya untuk kita mengenali pasangan untuk tujuan pernikahan.

Dengan ini, saya menyeru diri saya sendiri dan kawan-kawan sekalian supaya tinggalkanlah maksiat cinta nafsu syaitan laknatullah ini secepat mungkin. Bagi mereka yang ber'couple' tu, cepat-cepat lah break up. Kita ni dah la amal tak banyak, sembahyang pula ada yang tinggal. ditambah pula dengan dosa 'couple' lagi (dosa berdua-duaan, zina mata, zina telinga, zina tangan, zina kaki dan zina hati). Dibuatnya esok mati,macam mana? Memanglah dosa masing-masing tanggung, tapi jika dah mati orang lain juga yang tolong mandikan, kapankan, tanamkan.

Dan janganlah pula kita menjadi orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya. Firman Allah dalam Surah Al-Jaathiyah ayat 23 :

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?"

Apabila sudah diketahui hukum-hukum Allah, maka hendaklah kita patuhinya. Yang haram segera ditinggalkan. Harap kita tidak menjadi seperti mereka yang di dalam firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Jaathiyah ayat 7-11 :

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa; (7) Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah dia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (8) Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, dia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina. (9) Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada Neraka Jahanam (yang disediakan untuk mereka) dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar. (10) Al-Quran ini ialah hidayat petunjuk yang cukup lengkap dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (11)

Bagi mereka yang mungkin sudah agak lama mengamalkan maksiat cinta ini dalam kehidupan seharian mereka, mungkin agak sukar untuk meninggalkannya. Namun ingatlah firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 :

"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Dan semoga kita semua diberi kekuatan iman dan taqwa oleh Allah S.W.T. untuk menegakkan Islam di dalam diri kita. Kerana ramai kawan-kawan kita di luar sana yang sudah tahu halal haram tapi masih melakukan yang ditegah mungkin disebabkan mereka tak punya kekuatan. Dan percayalah kepada qada' dan qadar Allah S.W.T., jika ada jodoh takkan ke mana, jika bukan di dunia yang sementara ni, di syurga yang kekal abadi Insya Allah. Tapi jika bukan jodoh, berkorbanlah nyawa hatta anda mempunyai 100 nyawa sekalipun, nescaya takkan kesampaian.


Wallahua'lam.


sumber: www.iluvislam.com

Monday, November 8, 2010

Bangkitlah kembali duhai teman seperjuanganku. Aku mahu melihat dirimu kembali teguh seperti yang ku kenali dahulu~




(Kalaulah masa itu dapat diputarkan..(^_^)...
kini semuanya hanya tinggal kenangan)

"Duhai temanku...dalam jauh sebuah perjalanan,
Allah amanahkan sebuah perjuangan,
terimalah dengan kekuatan..."

Kewajipan Merawat Futur Dalam Diri Seorang Daie


Manusia diciptakan Allah Taala dengan pelbagai sifat dan tingkah laku yang menunjukkan betapa berhajatnya mereka kepada bantuan dan pertolongan. Sifat-sifat seperti resah gelisah, takut, kecewa, bosan, malas dan sebagainya adalah gambaran kelemahan diri manusia itu sendiri yang diciptakan sebagai hamba Allah. Kelemahan dan sifat serba kekurangan ini boleh mendedahkan manusia kepada keadaan murung dan berputus asa yang akhirnya akan membawa mereka kepada hilang pergantungan dengan rahmat Allah Taala.

Sabda Rasulullah s.a.w:

Maknanya:Sesungguhnya bagi setiap amalan ada masa bersungguh(cergas) dan setiap kecergasan ada masa jemunya"- Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Tirmizi.

Suasana persekitaran, pergaulan, kejahilan, kecintaan kepada dunia dan tiadanya murabbi adalah antara faktor kemurungan dan kebosanan dalam melaksanakan perintah Allah Taala. Ia samada berkaitan dengan ibadah mahupun dalam kerja-kerja dakwah. Keadaan ini adalah perlu diberikan perhatian kerana bimbang ia akan menjadikan seseorang itu hilang rasa nikmat beribadah dan berjuang di jalan Allah. Post kali ini akan memberikan fokus perbincangan kepada kebosanan di dalam amal Islami yang sering melanda amilin dalam dakwah yang akhirnya menjejaskan gagasan yang telah digariskan di dalam perjuangan.

Definisi Al-futur

  • Menurut Mukhtar Al-Sihhah, Al-Futur itu bererti lemah, tumpul.
  • Manakala Al-Raghib Al-Asfahani di dalam Mufaradat Al-Quran menyatakan bahawa erti Al-Futur ialah diam selepas bergerak cergas, lembut selepas keras dan lemah selepas kuat.
  • Ibnu Hajar rahimahullah berkata bahawa Al-futur ialah:

Maksudnya:Bosan, berat untuk melakukan sesuatu dan orang lari darinya selepas awalnya suka kepadanya. Ia adalah penyakit yang menimpa sebahagian hamba, para daie dan penuntut ilmu. Seseorang itu akan jadi lemah, bertangguh dan malas. Seterusnya meninggalkan dari melakukan sesuatu selepas awalnya ia bersungguh dan cergas. Di dalam Al-Quran Allah Taala memuji para MalaikatNya dengan berfirman: (( Mereka (para Malaikat) bertasbih malam dan siang tanpa jemu )).

Sebab-sebab Al-Futur dalam Dakwah.

Bagi seseorang yang terlibat dengan gerakan dakwah ia tidak boleh lari dari sifat sebagai manusia biasa yang terdedah kepada kebosanan dan kejemuan dalam dakwah. Bahkan para sahabat pun ada yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w bilakah kemenangan akan tiba kerana sudah bosan dengan tentangan hebat dari golongan musyrikin. Dalam dakwah kebosanan berlaku samada akibat dari kelewatan mendapat kemenangan atau berpunca dari terjadi berbagai ujian yang berat kepada pejuang Islam.

Allah Taala berfirman dalam surah Al-Taubah ayat 42, yang maksudnya:

"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.

Kebosanan dan kejemuan dalam dakwah adalah berpunca dari dua faktor utama iaitu faktor-faktor dalaman dan faktor-faktor luaran:

A. Faktor-faktor dalaman
1) Kejahilan yang menimbulkan keraguan kepada kesahihan tanzim.
2) Lemah amal ibadah.
3) Kurang mengamalkan sunnah dalam kehidupan harian.
4) Berlumba memperolehi populariti dalam dakwah.
5) Tidak berdisiplin dan kerja tidak tersusun.
6) Sentiasa berburuk sangka sesama ikhwah.
7) Tidak menghadiri tarbiah.
8) Tidak menghadiri aktiviti jamaah.
9) Tidak bersederhana/melakukan sesuatu secara melampau.
10) Tiadanya aktiviti Istirahah Al-Nafs.

B. Faktor-Faktor Luaran.
1) Jamaah tidak memberikan peningkatan kepada diri.
2) Ikhwah dalam jamaah tidak bersifat terbuka.
3) Tanzim yang bercelaru.
4) Aktiviti yang membosankan.
5) Kepimpinan yang tidak memberikan contoh yang baik.
6) Perpecahan dalam jamaah.
7) Serangan bertubi-tubi dari musuh.
8) Kemewahan hidup yang menamkan rasa selesa dengan apa yang ada.
9) Pengaruh wanita.
10) Pengaruh keluarga dan anak-anak.
11) Tekanan di tempat kerja.
12) Kekalahan dalam peperangan dengan musuh.

Faktor-faktor di atas adalah penyebab kepada timbulnya Al-Futur di dalam diri pejuang-pejuang Islam. Sebagai contoh ialah kekalahan, ia boleh menyebabkan hilang keyakinan untuk meneruskan perjuangan seperti berlaku di dalam perang Uhud. Apabila umat Islam ditimpa kekalahan, ramai yang mula kecewa, hilang keyakinan dan rasa bimbang dengan masa depan Islam. Lalu Allah Taala menjelaskan sendiri mengapakah kekalahan berlaku dengan firman-Nya, yang maksudnya:

"Dan Mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu Telah menimpakan kekalahan dua kali ganda kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (kekalahan) ini? Katakanlah: Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dan apa yang menimpa kamu pada hari bertemunya dua pasukan, Maka (kekalahan) itu adalah dengan izin (takdir) Allah, dan agar Allah mengetahui siapa orang-orang yang beriman"- Surah Ali-Imran : 165-166.

Dengan turunnya ayat di atas barulah para amilin sedar bahawa kekalahan yang berlaku adalah berpunca dari kelakaun mereka sendiri yang tidak menuruti arahan Rasulullah s.a.w. Lantas selepas daripada itu mereka tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama dan akhirnya Allah Taala kurniakan kemenangan dengan pembukaan Kota Mekah yang berlaku secara aman.

Penyelesaian.

Bagi menyelesaikan dan merawat penyakit Al-Futur yang menimpa ahli jamaah Islam maka terdapat beberapa tip yang boleh dijadikan sebagai panduan iaitu:

1) Membaca Al-Quran yang mengisahkan kesusahan perjuangan Anbiya.
2) Membaca Sirah Rasulullah s.a.w.
3) Membaca sejarah pejuang Islam masa silam.
4) Solat berjamaah.
5) Tingkatkan amalan sunat.
6) Hidupkan sunnah dalam kehidupan.
7) Meninggalkan amalan makruh.
8) Kurangkan menonton TV.
9) Selalu bersama solihin.
10) Hadiri majlis ilmu.
11) Selalu berhubung dengan ahli jamaah.
12) Amalkan pengurusan diri dan berdisiplin.
13) Menjaga masa.
14) Kreatif mempelbagaikan aktiviti jamaah.
15) Mengamalkan kesatuan fikrah dan kesatuan amal.
16) Libatkan semua peringkat ahli jamaah Islam dengan tarbiah.

Kesimpulan.

Para Qiadah dalam jamaah Islam seharusnya bersifat peka terhadap perkembangan di kalangan ahli-ahli jamaah Islam yang mempunyai tingkah laku dan kecenderungan yang pelbagai. Kebijaksanaan qiadah amat perlu bagi memastikan faktor-faktor yang membawa kepada Al-futur dalam dakwah dapat ditangani dengan sebaiknya agar intima di dalam jamaah bukan sahaja kerana kebenaran yang dibawa tetapi kerana keseronokan bersama-sama memperjuangkan Islam. Qiadah yang tidak sensitif dengan perkara-perkara seumpama ini akan membawa kepada kecenderungan ahli jamaah meninggalkan perjuangan Islam.

Sumber: bahan tarbiyyah


nukilanku~

Lelaki Tampan...

~Melukis kekuatan melalui masalahnya..

~Tersenyum di saat tertekan..

~Tertawa di saat hati sedang menangis..

~Tabah di saat terhina..

~Mempesona kerana memaafkan..

~Mengasihi tanpa meminta balas..

~Bertambah kuat dalam doa dan pengharapan Ilahi..


Monday, October 11, 2010

Hukama berkata: “Allah lebih suka mendengar rintihan hamba yang berdosa (termasuk rintihan hati) daripada seorang abid yang duduk beribadah.”

Ada orang menyangka ibadah itu sekadar rukuk dan sujud di tikar sembahyang. Atau mengalunkan ayat-ayat Al Quran dengan penuh khusyuk dan tawadhuk. Atau menggentel biji tasbih dengan berzikir dan bertahmid. Atau sekadar membahagi-bahagikan harta kepada fakir miskin.

Ibadah itu luas pengertiannya. Seluas lautan yang tak bertepi. Ibadah tidak terbatas pada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. Ia tidak terbatas pada puasa sunat seperti puasa Nabi Daud; sehari berpuasa sehari berbuka. Pun tidak dikhususkan kepada membayar zakat, menunaikan haji dan sebagainya.

Ibadah adalah pengabdian diri kepada Allah. Dan antara bentuk pengabdian diri yang tidak ketara dan tidak perlu mengeluarkan tenaga ialah ingatan hati dan rintihan hati kepada Allah. Ia merupakan ibadah yang besar nilainya di sisi Allah. Mudah tetapi tidak ramai yang mampu melakukannya.

Mengingati Allah dikira ibadah kerana ia menandakan seorang hamba itu benar-benar berhati hamba. Hamba yang tak punya apa-apa. Yang sewaktu datang ke dunia, tak membawa walau seurat benang di tubuh. Justeru hati sentiasa ingat kepada Yang Maha Pencipta, sentiasa mengharap bantuan-Nya dan sentiasa bergantung kepadaNya. MengingatiNya menimbulkan rasa syukur atas segala nikmat kurniaanNya.

Namun berapa kerat di antara kita yang ingat akan Allah. Ramai yang lalai dan lupa. Dalam sembahyang, fikiran menerawang entah ke mana. Apatah lagi di luar sembahyang. Renungilah sabda kekasihNya dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

“Wahai anak Adam! Jika engkau ingat kepadaKu, Aku juga tetap ingat kepadamu. Dan jika engkau lupa kepadaKu, Aku masih ingat terus kepadamu. Apabila engkau taat kepadaKu, maka pergilah ke mana saja yang engkau suka, di tempat engkau mematuhiKu dan Aku mematuhimu, dan engkau mengikhlaskan kecintaanKu kepadamu, kemudian engkau memalingkan diri daripadaKu, sedang Aku tetap mengambil berat terhadapmu. Siapakah yang memberimu makan sewaktu engkau masih janin di dalam perut ibumu. Aku tetap menguruskan segala keperluanmu dengan baik, sehingga terlaksana semua takdirKu terhadapmu. Apabila Aku lahirkan engkau ke alam dunia, engkau lalu membuat maksiat. Bukan begini sewajarnya balasanmu terhadap siapa yang berbuat baik kepadamu.”

Memang wajar kita mengingati Allah yang telah banyak memberi nikmat kepada kita. Allah yang sentiasa ingat akan kita. Yang terus saja memerhatikan kita. Yang terus mengasihani kita. Yang terus memberi rezeki kepada kita walaupun Dia seringkali diderhakai.

Dengan apa patut kita balas nikmat Allah yang terlalu banyak itu. Ibarat orang yang sedang bercinta, cukuplah asal dikenang atau diingati orang yang dicintai. Begitu juga dengan Allah. Ingatlah Dia kemana kita pergi. Ingat akan Allah bukan semestinya di tikar sembahyang saja. Biar tubuh bersama manusia tetapi hati bersama Allah. Agar setiap detik kita sentiasa dalam ibadah. Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“berfikir sesaat itu lebih baik daripada sembahyang sunat seribu rakaat (yang tidak khusyuk).”

Demikian keutamaan bagi orang yang sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah. Akal yang berfikir akan meruntun hati agar sentiasa ingat kepada Allah. Apabila hati selalu mengingatiNya, terasa betapa hampirnya Allah dengan kita. Hati akan selalu bermunajat dengan Allah; menginsafi kelemahan diri, lantas mengharap belas kasihan Allah kepada kita yang terlalu banyak berbuat dosa. Hati merintih dan mengharap rahmat Allah yang maha luas itu. Datanglah perasaan betapa hinanya diri yang berasal dari setitik air mani. Tanpa rahmatnya tinggallah kita dalam kehinaan selama-lamanya.

Rintihan hati inilah tanda kita hamba yang tak punya kuasa apa-apa untuk menghalang kudrat dan iradahNya. Tak berupaya menepis Qadak dan QadarNya. Hanya belas kasihan Allah yang diharapkan dapat menjauhkan diri daripada segala bala bencana. Hati yang tidak pernah ingat, apalagi merintih kepada Allah, adalah hati seorang tuan.

Adakalanya segaja Allah timpakan ujian yang berat ke atas hambaNya. Ketika itu hati si hamba akan merintih walaupun bibir boleh mengukir senyum. Kadang-kadang ujian datang silih berganti; seolah-olah Allah tidak mendengar rintihan hati hambaNya.

Sebenarnya, Allah rindu untuk mendengar rintihan hati si hamba. Tanpa ujian, hati tidak ingat Allah dan ia berasa tenteram, hingga hilanglah rasa kehambaan daripada dalam diri. Lalu kerana itu, Allah datangkan ujian silih berganti agar rintihan hati si hamba tidak terputus kepada Tuhannya.

Hukama berkata: “Allah lebih suka mendengar rintihan hamba yang berdosa (termasuk rintihan hati) daripada seorang abid yang duduk beribadah.”

Demikian tingginya nilai rintihan hati seorang hamba dibandingkan dengan ibadah lahir. Ibadah lahir belum tentu melahirkan rasa kehambaan, kerana boleh jadi seorang yang beribadah itu berasa selamat dengan ibadahnya.

Ingatan hati dan rintihan hati seorang insan terhadap Tuhannya datang daripada rasa kehambaan yang tulen. Rasa kehambaan inilah tanda seorang insan telah mendapat nikmat iman yang tinggi nilainya. Tiada sesuatu yang lebih berharga daripada nikmat iman. Beruntunglah mereka yang dianugerahi nikmat ini. Hanya hamba-hambaNya yang terpilih saja yang akan dikurniai
rasa kehambaan.

Seorang hamba yang hatinya sentiasa ingat dan merintih kepada Allah tidak bangga dengan nikmat, tidak gelisah dengan bala, tidak rasa tenang dengan pujian, dan tidak menderita dengan kejian. Hati sentiasa merasa serba kekurangan dan amat memerlukan Allah dalam semua keadaan. Inilah yang dikatakan hati yang hidup, yang sentiasa dalam beribadah. Apatah lagi jika ditambah
dengan banyaknya ibadah lahir seperti sembahyang, puasa, sedekah dan sebagainya; makin tinggilah darjat si hamba di sisi Khaliqnya.

Friday, October 8, 2010

Malam Pertamaku....


Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.

Ketika dalam keadaan sakit
tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: "Letakkan pipiku di atas tanah." Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: "Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?" Umar berkata lagi: "Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!"

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.


Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa
sambil bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya: "Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."

Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

a) Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.


Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya
kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan- Nya.

b) Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.

Siapakah yang menjadi teman
untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada
malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.

Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?

c) Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan
zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.


Sunday, September 12, 2010

10 Jenis Air Mata



Menurut kata Ibnu Qayyim, ada 10 Jenis Tangisan iaitu :

1) Menangis karena kasih sayang & kelembutan hati.
2) Menangis karena rasa takut.
3) Menangis karena cinta.
4) Menangis karena gembira.
5) Menangis karena menghadapi penderitaan.
6) Menangis karena terlalu sedih.
7) Menangis karena terasa hina dan lemah.
8) Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9) Menangis karena ikut-ikutan orang menangis.
10) Menangis orang munafik - pura-pura menangis.



Allah yang menciptakan ketawa dan tangis, serta menciptakan sebab tercetusnya. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumber nya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering…. Seperti sungai yang mengalir ke laut tiada henti…


Tangis tercela atau terpuji

Ada tangisan yang sangat di cela umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian.Ada pula tangisan sangat-sangat di puji dan di tuntut yaitu tangisan karena menginsafi dosa-dosa yang silam atau tangis karena takut akan azab dan siksa Allah.


Tangisan dapat memadamkan api Neraka

Rasulullah saw bersabda : ”Tidaklah mata seseorang meneteskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."


Air mata taubat Nabi Adam a.s


Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendongak ke langit karena sangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan.Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir ke lembah-lembah. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum air mata Nabi Adam lalu berkata,"Sungguh manis air ini." Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu menyindirnya sehingga ia memperhebatkan tangisannya.

Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, "Hai Adam sesungguhnya belum pernah Aku menciptakan air lebih lezat daripada air mata taubatmu!."


Air mata yang dilarang

1. Janganlah menangis kalau tak tercapai cita-citamu, bukankah Tuhan yang telah menentukannya.
2. Janganlah menangis karena cinta tak berbalas, mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan untukmu.
3. Janganlah menangis jika gagal dalam ujian, mungkin kita kurang membuat persiapan.
4. Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah
5. Janganlah menangis kalau tidak dinaikkan pangkat, yakinlah bahawa rezeki itu adalah pemberian Tuhan


Oleh itu…

Simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekal untuk menginsafi atas segala kelalaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa titik2 hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah swt.

Serulah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menetes membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali. Dan juga semoga ia dapat melebur dosa-dosa dan akan mendapat ampunanNya jua.

Junjungan Mulia bersabda " Ada 2 biji mata yang tak tersentuh api neraka, yaitu mata yang menangis di waktu malam hari karena takut kepada Allah swt dan 2 biji mata yang menjaga pasukan fi sabillah di waktu malam."

“Di antara 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah di hari qiamat diantaranya adalah seseorang yang berzikir sendirian lalu mengenang tentang kebesaran Allah swt lalu bercucuran air matanya."

"Jika tubuh seseorang hamba gementar karena takut kepada Allah, maka berguguran lah dosa-dosanya bak gugurnya dedaunan dari pepohonan kering."

Berkata Salman Al Faarisi r.a

Aku dibuat menangis atas 3 perkara:

1. Berpisah dengan Rasulullah saw dan para sahabat-sahabat.
2. Ketakutan seorang yang perkasa tatkala melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.
3. Aku tidak tahu apakah aku akan masuk syurga ataukah neraka.

Air mata tanda rahmat Tuhan

Rasulullah saw bersabda : Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah 3 perkara.

1) Apabila dahinya berkeringat.
2) Airmatanya berlinang.
3) Hidungnya keluar cairan seperti ingus

…karena hal tersebut menandakan rahmat Allah swt untuk si mayat. (riwayat dari Salman al Faarisi)

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,..dan dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada Dzat yang Memilikimu."

"sampaikanlah dariku walau satu ayat" al hadis

Sumber:http://tazkirahs.blogspot.com

Wednesday, September 1, 2010

Perang Khandaq

"Semasa Rasulullah SAW dan para sahabat berbincang tentang persiapan perang Khandaq bangun Salman Al-Farisi mencadangkan strategi menggali parit. Taktik gali parit adalah taktik yg berasal daripada Parsi. Nabi dan para sahabat bersikap terbuka dan menerima cadangan Salman Al-Farisi"

SubhanAllah....
Nabi tak kata pun "kita kat Arab... bukan di Parsi buat apa nak buat taktik cara Parsi?"

Ya Allah...jauhkan aku dari dosa asabiah.........
Rasulullah SAW pernah bersabda yg bermaksud bukan dari golongnku mereka yang berperang kerana asabiyah...




Perang Khandaq atau Perang Al-Ahzab telah berlaku pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah. Perang tersebut adalah kejadian penting sekali dalam sejarah Islam. Oleh kerana perang tersebut merupakan titik penentuan kelanjutan Agama Islam.dalam peperangan tersebut kaum Muslimin ditimpa dengan pelbagai cubaan dan dugaan yang sangat hebat.

Dalam Al-Quran digambarkan seperti berikut:
Ertinya: "Ketika mereka datang kepada kamu dari atas dan dari bawah, dan ketika pandangan telah suram, dan hati telah naik sampai kekerongkongan. Dan ketika itu kamu berprasangka kepada Allah dengan prasangka yang salah. Dikala itu orang-orang beriman mendapat ujian dan perasaan mereka digoncang dengan goncangan yang hebat". (Al-Ahzab:10-11)


Sebab utamanya adalah berpunca dari hasutan kaum Yahudi. Sebahagian pemuka Yahudi Bani Nadlir dan Bani Wa'il datang kepada bangsa Quraisy di Mekah. Mereka mencadangkan kaum Quraisy untuk memerangi Rasulullah saw. Sebelum itu mereka telah mencuba untuk berhadapan dengan kaum Muslimin. Namun mereka merasa tidak mampu. Utusan kaum Yahudi itu memujuk kaum Quraisy dengan berbagai cara. Kata kaum Yahudi : " Kami akan bersama-sama dengan kamu sehingga kami dapat menumpaskan Muhammad."

Ucapan kaum Yahudi itu membuat hati bangsa Quraisy senang dan mereka segera
mengadakan persiapan untuk berperang. Kemudian utusan Yahudi itu pergi ke Bani Ghatfan untuk menghasut mereka agar bersedia memerangi Rasulullah. Utusan kaum Yahudi pergi mengelilingi ke seluruh kabilah bangsa Arab dan mengajukan rencana penyerbuan Kota Madinah yang telah disepakati oleh kaum Quraisy.

Hasutan kaum Yahudi itu menghasilkan perjanjian angkatan perang bersama antara kaum Yahudi, Quraisy dan Bani Ghatfan dalam satu kekuatan Untuk itu mereka saling mengikat
perjanjian. Sebagai ganjarannya kaum Yahudi diwajibkan menyerahkan seluruh hasil kurma Khaibar selama setahun penuh. Kaum Quraisy keluar dengan pasukannya sebanyak empat ribu orang. Manakala Bani Ghatfan keluar dengan pasukannya sebanyak enam ribu orang Pimpinan tertinggi dipegang oleh Abu Sufyan bin Harb.

Kebijaksanaan Sandaran Kaum Muslimin

Ketika Rasulullah mendengar berita akan terjadinya penyerbuan terhadap Kota Madinah dan gabungan pasukan sekutu untuk memerangi kaum Muslimin, untuk menumpas mereka hingga ke akarnya. Lalu baginda menyuruh kaum Muslimin untuk mengadakan persiapan perang.
Dan diputuskan pula untuk mengadakan pertahanan dalam Kota madinah. Jumlah tentera kaum Muslimin hanya terkumpul sebanyak tiga ribu orang sahaja. Dalam kesempatan itulah Salman Al-Farsi mengisyaratkan agar membuat parit disekitar Kota Madinah.

Cara pertahanan sedemikian itu merupakan cara yang
biasa dipakai oleh bangsa Parsi

Kata Salman:
Ertinya:" Ya Rasulullah .. dahulu ketika kami di Parsi jika takut akan serbuan tentera kuda maka kami akan menggali parit
disekitar kami."

Pendapat Salman tersebut diterima baik oleh Nabi dan segera beliau memerintahkan para sahabatnya untuk menggali pari
t di sebelah barat daya Madinah iaitu dibahagian yang terbuka yang di khuatiri musuh akan datang dari arah sana. Rasulullah membahagikan tugas penggalian parit. setiap sepuluh orang sahabat ditugaskan untuk menggali sepuluh hasta. Panjangnya parit itu kira-kira lima ribu hasta, dalam sampai sepuluh hasta sedang lebarnya sembilan hasta keatas.

Jiwa Persamaan Diantara Kaum Muslimin

Rasulullah ikut sama menggali parit itu agar kaum Muslimin ikut berlumba-lumba dalam mencari pahala. Kerana itulah kaum Muslimin beramai-ramai ikut bekerja bersama beliau. Waktu itu Kota Madinah sedang mengalami musim yang sangat dingin. Sedangkan kaum Muslimin banyak yang tidak mempunyai makanan yang secukupnya. Bahkan adakalanya sehingga tidak mempunyai apa-apa makan
an. Kata Abu Thalhah : " Kami pernah mengeluh kepada Rasulullah tentang rasa lapar yang kami deritai. Dan kami selalu mengikat perut kami dengan batu. Manakala Nabi pula mengikat perut baginda dengan dua batu. Kata Anas: "Waktu itu ketika Nabi keluar beliau saksikan kaum Muhajirin dan kaum Ansar bersama-sama menggali parit disuatu pagi yang amat dingin sekali sedangkan keadaan mereka amat lapar.



Mukjizat Nabi di Khandaq


Pada waktu penggalian Khandaq ini ada mukjizat Nabi yang timbul, iaitu sedang kaum Muslimin sedang menghadapi kesukaran untuk menghancurkan bungkahan batu keras. Nabi menyuruh membawa sebejana air. Kemudian nabi meludah pada air itu dan beliau berdoa kepada Allah, lalu air tersebut disiramkan pada bongkahan batu itu maka batu itu segera hancur seperti pasir.

Selain itu ada juga mukjizat nabi yang lain iaitu timbulnya berkat pada makanan yang sedikit dapat mengenyangkan orang ramai dan mencukupi seluruh pasukan yang ada. Kata Jabir:
" Aku katakan pada Rasulullah :"Ya Rasulullah... izinkan aku untuk pulang sebentar."

Sesampaiku dirumah aku katakan pada isteriku:" Aku lihat sesuatu pada diri beliau yang tidak boleh kita lewatkan. Adakah kamu mempunyai sesuatu?
Jawab isteriku:" Ya aku mempunyai gandum dan seekor anak kambing."

Kemudian anak kambing itu segera ku sembelih dan gandum itu ku tumbuk. Daging itu ku masak dalam kuali dan tepung gandum ku masukkan dalam pembakar roti. Aku kembali ke tempat Nabi dan ku katakan: "Ya Rasulullah aku ada sedikit makanan marilah engkau datang ke rumahku bersama seorang atau dua orang sahabatmu."

Tanya Nabi: " Berapa banyakkah makanan itu"
Setelah ku sebutkan jumlah makanan itu beliau berkata "Itu cukup banyak. Katakan kepada isterimu jangan diangkat masakan itu dari atas tungku dan roti itu pula jangan sampai dikeluarkan dari tempat pembakarannya sebelum aku datang kesana."
Beliau berseru kepada para sahabatnya " Bangun kamu sekalian"
Seluruh kaum Muhajirin dan Ansar bangkit bersama-sama mengikut Nabi.

Ketika aku masuk ke tempat isteriku ku katakan kepadanya "Nabi datang bersama kaum Muhajirin dan Ansar dan orang yang bersama mereka.
Nabi berkata " Masuklah kamu semua dan jangan berebut"

Kemudian Nabi memotong-motong roti dan dicampurkan pada daging serta kuah yang ada di kuali. Kemudian beliau mendekatkan hidangan pada sahabat sedangkan baginda tetap memotong-motong roti itu sedangkan para sahabat makan sehingga kenyang.
Setelah mereka makan hingga kenyang, masih lagi terdapat roti dan kuah yang masih bersisa. Baginda berkata: "Berikan makanan itu kepada orang kerana sekarang ini musim sejuk"
Pasukan musuh datang dari segenap penjuru Kaum Quraisy dan Bani Ghatfan datang bersama tentera-tenteranya, dihadapan Kota Madinah. Nabi juga keluar bersama pasukannya yang berjumlah tiga ribu orang. Kedua pasukan ini hanya dipisahkan oleh parit yang digali oleh kaum Muslimin.

Antara kaum Muslimin dan kaum Yahudi Bani Quraizah telah terjalin perjanjian persahabatan. Pada hari itu Huyay bin Akhtab seorang pemuka Yahudi Bani Nadlir datang kepada mereka dan memujuk agar mereka mahu melanggari perjanjian yang telah diikat bersama dengan kaum Muslimin. Pada mulanya mereka enggan untuk melaksanakan cadangan Huyay bin Akhtab. Namun akhirnya mereka menyatakan persetujuan untuk melanggar perjanjian dengan Kaum Muslimin. Pernyataan kaum Yahudi banu Quraizah itu menyebabkan menjadi kucar kacir.

Disamping itu kaum Munafiqin mula memainkan peranan mereka. Hampir saja mengadakan perdamaian dengan kabilah Bani Ghatfan dengan memberi sepertiga hasil kurma Madinah. kerana Nabi merasa sayang kepada kaum Ansar kerana mereka telah menanggng bebanan yang berat. Namun Nabi memendamkan niatnya setelah mengetahui akan ketabahan dan ketetapan hati kedua sahabat Ansar baginda iaitu Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah untuk menghadapi musuh. Kata Saad bin Muaz " Ya Rasulullah dahulu ketika kami dan mereka masih dalam keadaan menyengutukan Allah dan menyembah berhala dan tidak menyembah Allah mahu mengenalnya, mereka tidak pernah menerima kurma dari kami selain dengan jalan hutang atau beli. Apakah kini setelah Allah memuliakan kami dengan Islam dengan memberi petunjuk kami kepada Islam serta kami bangga dengan engkau dan Allah akan kami berikan harta kami kepada mereka? Demi Allah kami tidak perlu berdamai. Demi Allah kami tidak rela memberikan kepada mereka sesuatu selain pedang sampai Allah memutuskan sesuatu antara kami dan mereka."
Ucapan Saad ini dijawab oleh Nabi: "Terpulang mengikut kehendakmu"

Perbezaan Tentera Islam dan Kafir

Rasullah dan kaum Muslimin tetap berada di medan Khandaq. Begitu juga dengan tentera musuh. Antara kedua pasukan itu tidak terjadi peperangan besar selain beberapa orang tentera mereka yang cuba untuk melepasi parit pemisah dengan menggunakan kuda mereka.

Namun mereka hanya terhenti dipinggir parit. Ketika mereka melihat parit yang dibuat oleh kaum Muslimin mereka berkata
" Sebenarnya ini adalah taktik pertahan yang tidak pernah dikenal oleh bangsa Arab"


Kemudian mereka mencari jarak parit yang paling sempit. Setelah itu mereka berusaha untuk melepasi parit itu dengan kuda mereka dan mereka pun berhasil masuk ke Madinah. Salah seorang dari mereka yang berhasil melepasi parit itu adalah pahlawan mereka yang terkenal iaitu Amru bin Abdu Wudin. Ia mampu mengetuai seribu orang tentera Quraisy. Ketika ia sampai berhampiran barisan Islam ia berteriak minta bertanding.
Ali maju kehadapan dan berkata ' Hai Amru! Kamu telah berjanji kepada Allah jika ada seorang Quraisy yang menawarkan kepadamu dua perkara pasti kamu akan menerima salah satu darinya."
Jawab Amru " Benar"
Kata Ali: " Aku mengajak kamu kembali kepada Allah dan RasulNya serta masuk kedalam Islam"
Jawab Amru aku tidak perlu kepada ajakanmu."
Jawab Ali: " Kalau begitu aku ajak kamu untuk bertanding."
Jawab Amru: " Mengapakah kamu mengajak ku demikian wahai anak saudaraku? Demi Allah aku tidak ingin untuk membunuhmu"
Jawab Ali: " Akan tetapi aku ingin sekali untuk membunuhmu"
Mendengar ucapanm Ali bin Abi Thalib, Amru naik pitam dan kudanya dibunuh kemudian ia maju ke hadapan Ali untuk bertanding. Keduanya saling beradu kekuatan sampai Ali bin Abi Thalib dapat membunuh Amru.

Milik Allah Segala Tentera Langit dan Bumi
Pasukan Musyrikin mengadakan pengepungan terhadap pasukan Islam dengan ketat sekali. Seolah-olah bagaikan satu benteng. Mereka mengadakan pengepungan dari segenap penjuru selama sebulan. Sehinggakan kaum Muslimin merasa semakin sukar dan tersepit. Pada masa itula kaum Munafiqin bersiap-siap untuk menjalankan taktik-taktik jahatnya. Ketika Rasulullah dan Para sahabatnya sedang dicekam oleh rasa takut tiba-tiba datang seorang yang bernama Nuiam bin Masud berkata kepada Rasulullah:
Ertinya: " Ya Rasulullah sesungguhnya aku telah masuk Islam. dan kaumku tidak tahu keislamanku. kerana itu perintahkan padaku sesukamu"
Jawab Nabi: " Sebenarnya kamu termasuk dari golongan kami.

Berusahalah mengikut kehendakmu untuk meringankan kami, sesungguhnya perang itu adalah tipu muslihat" kemudian Nuaim mula menjalankan muslihatnya. Beliau datang ke tempat kaum Yahudi Bani Quraizah untuk menimbulkan keraguan didalam hati orang Yahudi tentang keikhlasan kaum Quraisy dan Bani Ghatfan untuk berperang disamping mereka dan diterangkan pula bahaya yang akan menimpa mereka jika mereka berperang disamping kaum Quraisy dan Bani Ghatfan untuk memerangi kaum Muhajirin dan kaum Ansar yang menjadi tetangga kaum Yahudi. Kerana itu beliau menganjurkan mereka agar tidak jadi perang disamping kaum Quraisy dan Bani Ghatfan sebelum mereka memberikan beberapa orang yang terkemuka dari kaumnya untuk dijadikan sebagai tanggungan ditangan mereka. Cadangan Nuiam bin Masud diterima oleh kaum Yahudi dengan baik.

Selanjutnya Nuaim bin Masud pergi ketempat kaum Quraisy dengan pura-pura menunjukkan keikhlasannya serta memberikan nasihat. Beliau mengatakan bahawa kaum Yahudi menyesal atas perjanjian yang telah dibuat dengan kaum Quraisy dan mereka pasti akan meminta beberapa orang yang terkemuka sebagai tanggungan untuk mereka agar dapat diserahkan kepada Nabi dan kaum Muslimin untuk dibunuh. Setelah itu Nuaim juga pergi ke tempat Bani Ghatfan untuk menghasut mereka seperti yang dilakukannya kepada kaum Quraisy.
Hasil daripada hasutan Nuaim tersebut kedua suku itu mula merasa ragu-ragu dan benci terhadap kaum Yahudi. Perpecahan dikalangan tentera sekutu mulai timbul. Setiap golongan merasa khuatir terhadap kawan sendiri.

Ketika Abu Sufyan dan pemuka-pemuka kaum Ghatfan menuntut untuk segera memulai penyerangan secara terbuka terhadap kaum Muslimin, kaum Yahudi mulai merasa enggan. Bahkan kaum Yahudi menuntut dari merka untuk diserahkan beberapa orang sebagai tanggungan buat mereka. Dengan ini kaum Qurausy dan kaum Ghatfan merasa yakin dengan apa yang diperkatakan oleh Nuaim bin Mas'ud. Kerana itu mereka tidak bersedia untuk memenuhi permintaan kaum Yahudi. Demikian pula kaum Yahudi pun juga yakin akan kebenaran apa yang dikatakan oleh Nuaim bin Mas'ud. Sehingga kedua belah pihak saling mencela dan berpecah belah.

Allah menolong Nabi Muhammad saw dengan mengirimkan angin yang berhembus dimalam hari yang amat dingin kepada pihak musuhnya. Angin tersebut dapat memporak-perandakan kuali-kuali dan khemah-khemah mereka. Abu Syufyan bangun dan berkata kepada pasukannya:
Ertinya: Hai kaum Quarisy! Sesungguhnya kamu sekarang tidak mampu lagi untuk bertahan disini kerana kambing-kambing dan unta-unta kami telah habis, kaumYahudi Bani Quraiza pun telah mengingkari janjinya dan telah sampai kepada kami berita yang tidak kami ingini dari mereka. Kami juga diserang oleh angin kencang seperti yang kalian lihat seperti yang kamu semua lihat. Oleh itu beredar kamu dan aku juga akan segera beredar.
Kemudian Abu Sufyan bangun menuju kepada untanya yang tertambat dan segera berlalu. Ketika kaum Ghatfan mendengar kaum Quraisy telah pun beredar mereka pun segera kembali ketempat asal mereka. Ketika Khudaifah Ibnul Yaman yang diutuskan oleh Nabi untuk mengitip ditengah-tengah barisan musuh datang memberitahu kepada baginda apa yang dilakukan oleh pasukan musuh waktu itu baginda sedang bersolat.

Pada waktu paginya Nabi beserta seluruh pasukannya segera meninggalkan medan peperangan Khandaq menuju Madinah untuk meletak senjata. Peperangan itu berakhir dengan berundurnya bangsa Quraisy untuk selama-lamanya dan mereka tidak pernah datang lagi untuk memerangi kaum Muslimin selepas itu. Dalam peperangan Khandaq ini kaum Muslimin yang terbunuh sebanyak tujuh orang sedangkan pasukan musuh ada empat orang.

are you like this? click here...hehe

rayuanku...