Terima Kasih krn sudi FOLLOW blog saya (^_^)

Sunday, August 5, 2012

diuji lagi...





Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…


Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna. 


Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.


Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting. 


Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”

Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru, bahagia itu bila diuji... 
jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!





 
Apa yang anda lihat pada lukisan di atas? 

Mungkin sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi

P/s: Percayalah, acap kali mereka yang mengadu bermasalah… kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin ‘didengari’.

Al-Mujahid itu

Aku mampu membayangkan
Al-Mujahid itu sebagai lelaki
yang sentiasa membuat persiapan,
Menyediakan bekalan,
Berupaya menguasai fikiran
yang memenuhi setiap sudut jiwa
Dan segenap jurusan hatinya.

Dia sentiasa berfikir
Dan menumpukan perhatian sepenuhnya
terhadap persiapan yang terus-menerus.
Apabila diseru, dia menyahut.
Apabila dipanggil, dia menjawab.

Pulang dan perginya,
Perkataan dan bicaranya,
Kesungguhan dan gurauannya
Tidak melampaui bidang
yang disediakan untuknya.
Dia tidak mengambil tugas
selain daripada yang telah diletak
atau dituntut ke atasnya.
Dia berjihad di jalannya.

Kamu dapat membaca
dari garis di wajahnya,
Melihat pada kilauan matanya
Dan mendengar pada gerakan lidahnya
Segala yang bergelora dalam hatinya
Berupa hawa yang melekat,
Kesakitan yang terpendam,
Keazaman yang benar,
Kesungguhan,
Cita-cita yang tinggi
Dan matlamat yang jauh
sentiasa memenuhi jiwanya

(Kalam asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna)

are you like this? click here...hehe

rayuanku...