"Cinta adalah hadiah dari Allah untuk dinikmati semua insan... maka bangunkan cinta yang sejati yang terpendam dalam jiwamu yang wujud saat penciptaanmu... dan tetap teruslah Cinta itu wujud dalam dirimu
mewajahkan diri dengan pelbagai nikmat yang dikurniakan... pandanglah dengan cahaya, nescaya jiwamu akan melihat cintaNya... yang meliputi dengan cinta itu, engkau sebarkan pada kehidupan di sekelilingmu..."
~Allahumma shalli ala Muhammad wa ala ali Muhammad~
“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan
saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat
semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan
menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan
.
Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?
“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan,
mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah
sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Aneh.
Mencintai insan yang belum ada.
Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan,
runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada…
itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan
cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan
Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di
masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka,
di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui
bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya,
sudah menyuburkan rasa cinta.
Cinta luar biasa.
Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu
berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah,
hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut
Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk
cinta Nabi.
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir
berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan
demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk
mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir
yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah
sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum
dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr
sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat
kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan
agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik,
Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya.
Kita.
SEBUAH PERTANYAAN CINTA
Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….
“Tidak sempurna iman sesiapa di
kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih
kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]
Terdapat seorang pemuda pada zaman Rasulullah
SAW,yang baik dan rajin beribadah. Suatu hari, pemuda tersebut datang
menemui Rasulullah SAW dan menyatakan hajatnya dan meminta pandangan
daripada Rasulullah untuk mengahwini seorang gadis yang solehah. Maka
Rasulullah pun memberi kebenaran kepadanya. Setelah mendengar kata-kata
Rasulullah,maka pemuda tersebut menemui wali gadis tersebut iaitu bapa
kepada gadis yang dihajatinya. Maka dinyatakan hasrat hati pemuda itu
untuk mengahwini anak gadislelaki tersebut. Pemuda
tersebut tidaklah selembut Abu Bakar,tidaklah segagah Umar al-Khattab,
tidak sekaya Abdul Rahman bin Auf dan tidak pula setampan Ali bin Abu
Talib. Maka ditolak permintaan pemuda tersebut kerana dirasakan tidak
sepadan pemuda itu untuk mengahwini anak gadisnya yang ternyata menjadi
buruan para pemuda lain.
Setelah itu,pulanglah pemuda itudengan
hampa kerana hajatnya itu tidak diterima oleh bapa si gadis. Ternyata,
perasaan hampa pemuda itu jelas terlihat pada wajahnya dan pemuda
tersebut datang menemui Rasulullah untuk memberitakan bahawa hajatnya
itu ditolak. Mendengar khabaran tersebut,maka Rasulullah SAW sendiri
menemui wali gadis tersebut dan mengatakan bahawa,”sesungguhnya aku
membawa pinangan dari seorang pemuda untuk anak gadismu”. Bapa gadis itu
bertanya,”siapa pemuda tersebut?” Rasulullah menjawab,dialah pemuda
yang engkau tolak pinangannya.” Mendengar kata-kata Rasulullah,lantas
membuatkan bapa gadis itu terkejut lantas bapanya mendapatkan anak
gadisnya. Maka, gadis yang solehah itu berkata pada bapanya,”tiada
pinangan yang lebih baik daripada pinangan yang dibawa oleh Rasulullah
sendiri.”
Mendengar kata-kata anak gadisnya yang
yakin akan kebenaran dan barakah yang dibawa oleh Rasulullah,maka
fahamlah bapanya bahawa anak gadisnya sedia menerima pemuda tersebut
sebagai suaminya.
Maka bersatulah dua jiwa yang
sama-sama ada cinta Allah dan Rasul di hati mereka. Berpadu dan
bertambah kuat cinta mereka pada Allah dan Rasul. Pemuda yang soleh dan
gadis yang solehah. Pada malam pertama selepas pernikahan, si isteri pun
mempersiapkan diri untuk menerima layanan dari tetamu
istimewanya,manakala si suami,pemuda itu tadi terus berteleku di tikar
sembahyang dengansolat, zikir dan doanya sehinggalah si isteri itu terlena kerana terlalu lama menunggu.
Malam kedua, seperti biasa si isteri
yang faham,mungkin kerana kepenatan,maka suaminya tidak dapat bersamanya
semalam. Masih setia menunggu suaminya itu, namun si suami masih
memilih untuk berada di hamparan tikar sembahyang berbanding menikmati
keselesaan hamparan tilam lembut yang selayaknya sebagai pengantin yang
dirai. Perkara tersebut berlanjutan sehinggalah ke malam yang ketiga.
Maka dengan rasa tertanya-tanya terhadap sikap suaminya, si isteri
menyampaikan khabar suaminya kepada Rasulullah kerana inginkan
kepastian. Masakan seorang suami yang sangat ingin berkahwin dengan
wanita yang dihajatinya, seolah-olah membiarkan sahaja isterinya itu
setelah mendapat apa yang dihajati. Apakah benar tindakan yang dilakukan
seorang lelaki soleh terhadap isterinya? Berbagai-bagai pertanyaan
timbul di benak fikiran isteri. Setelah khabar tersebut sampai ke
pengetahuan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW datang menemui pemuda
tersebut lantas bertanya tentang kesahihan apa yang diketahui Baginda
SAW.
“Apakah benar selama kau berkahwin dengan
isterimu,kau membiarkan dia keseorangan pada waktu malam sedangkan kau
berada di tikar sembahyang?” Tanya Rasulullah SAW.
“Benar wahai Rasulullah.”
“Mengapa kau tidak tunaikan hak yang sepatutnya isterimu nikmati?”
Maka pemuda itu menjawab pertanyaan Rasulullah dengan tenang.
“Wahai Rasulullah, aku baru sahaja
bernikah, dan aku hanya mengambil beberapa malam bermula aku dinikahkan
untuk bersama Allah,mengabdikan diriku sepenuhnya kepada Allah yang
sangat aku kasihi dan cintai,juga sebagai tanda syukurku kepada Allah
atas anugerah-Nya mengurniakan aku seorang isteri yang solehah lagi
cantik akhlak dan budinya.”
Mendengar jawapan itu, terlakar pada riak
wajah Rasulullah tanda puas hati dan yakin dengan jawapan yang diberikan
pemuda tersebut.
Masya-Allah,betapa hebatnya jiwa
seorang pemuda. Pemuda yang sentiasa tertaut hatinya kepada cinta Allah.
Pernikahannya itu benar-benar ikhlas kerana Allah. Mengharapkan semaian
cinta Allah melalui pernikahan.
"Ya
Allah, semoga Engkau curahkan selawat dan salam kepada Junjunganku,
Kekasihku, Pengubat hatiku, jiwa dan ragaku iaitu Junjunganku yang
menjadi Utusan Allah, Muhammad bin 'Abdillah, Insan yang jujur dan
terpercaya. Dan semoga selawat dan salam juga tercurah kepada semua
keluarga dan sahabat baginda"
Bila kita kenal sesuatu yang indah, baik dan benar,
kita akan jatuh cinta. Bila sudah cinta, kita banyak mengingat apa yang
kita cintai itu. Dan bila kita banyak mengingat, pasti banyak pula kita
menyebutnya… Kata orang tua dahulu, bila hati teringat, mulut akan
menyebut!
Jadi, tanda cinta kita kepada sesuatu,
banyaklah kita menyebut-nyebutnya. Dan begitulah kitaran cinta kepada
Rasulullah saw. Tanda kenal, cinta. Tanda cinta, ingat. Dan tanda ingat,
banyak menyebut… Semakin banyak ingatan, semakin banyka pula sebutan.
Dan di situlah signifikannya selawat!
Ya, semoga Allah berikan hati yang sentiasa ingat kepada Rasulullah
saw lalu kita mampu berselawat ke atas baginda – sebagai tanda kasih,
tanda cinta kepadanya. Tidak cukup jika berselawat pada Hari
Keputeraannya atau membacanya hanya ketika dalam tahiyyat awal atau
akhir, sebaliknya jadikan ia basahan lidah setiap masa – gembira atau
berduka, ketika ramai atau bersendirian, siang mahupun malam.
Sebenarnya, bukan sahaja manusia dituntut berselawat kepada Nabi
Muhammad SAW, malah Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke
atas baginda. Pujian daripada Allah dan para malaikat ini justeru
ketinggian akhlak dan keperibadian baginda.
Firman Allah swt:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas
Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan
berikanlah salam dengan sesempurna-sempurna salam.”
(Al-Ahzab 56)
Bayangkan, tanpa Rasululah alam ini tidak akan diberkati.
Kedatangannya adalah untuk memberi rahmat untuk alam ini. Alam itu gelap
gelita, Rasulullah adalah penerang kepada penghuni-penghuni dunia. Kata
bijak pandai, dunia tidak akan aman, selagi manusia yang menghuni di
atasnya tidak berakhlak. Dan inilah misi utama kedatangan Rasulullah SAW
yakni memberi rahmat kepada alam dengan berusaha memperbaiki akhlak
manusia.
Firman Allah:
“Dan tidak diutuskan (nabi Muhammad SAW) melainkan untuk memberi rahmat buat sekelian alam.”
Rahmat kedatangan Rasulullah ini adalah dalam bentuk akhlak yang
paling murni untuk dipelajari dan diteladani oleh semua manusia. Ini
ditegaskan sendiri oleh sabda baginda:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.”
Tanpa Rasulullah tidak akan ada kasih-sayang sejati dikalangan
manusia. Ibu-bapa tidak akan dihormati, anak-anak tidak akan disayangi,
kaum wanita tidak akan dilindungi, yang miskin tidak akan dibela, yang
kaya tidak akan pemurah, yang berkuasa tidak akan adil, yang diperintah
tidak akan taat. Cara hidup Jahiliyah yang serba kejam, hina dan
kucar-kacir akan terus bermaharajalela. Namun kedatangan baginda telah
memberhentikan semua itu.
Baginda berjuang bermula dengan seorang diri. Diseru kaum keluarga
terdekat dan sahabat terapat. Daripada Siti Khadijah, kemudian Sayidina
Ali serta Sayidina Abu Bakar… Sedikit demi sedikit. Dan 23 tahun
kemudian, ada lebih 124,000 para sahabatnya yang bertebaran di Makkah,
Madinah dan seluruh jaziratul Arab. Baginda rela kehilangan apa sahaja
demi menyelamatkan umatnya daripada kejahilan dan kesyirikan. Daripada
cacian, dihalau hinggalah ancaman bunuh – semuanya telah baginda lalui
demi perjuangan yang suci.
Jika pada hari ini kita memuja pemimpin yang berjasa… maka siapakah
pemimpin yang lebih besar jasanya daripada Rasulullah SAW? Bagindalah
yang telah membebaskan kita daripada kesempitan hidup dunia untuk
menikmati kelapangan hidup di akhirat. Baginda jualah yang membebaskan
kita daripada penghambaan sesama manusia untuk menjadi hamba keoada
Allah. Baginda yang mengeluarkan kita daripada ksempitan dunia untuk
menuju kelapangan akhirat.
Soalnya, bagaimana kita memperingati jasa-jasanya itu?
Ya, kita mesti berselawat ke atas baginda. Kelebihan solawat telah
banyak kita dengar. Namun apakah yang Allah swt benar-benar inginkan
daripada selawat kita? Allah swt inginkan supaya hubungan kita dengan
Rasulullah swt adalah berterusan. Oleh sebab itu kalimah, “Asyhaduallah
ila ha illallah.”diikuti kemudiannya dengan kalimah “wa ashaduanna
Muhammadar Rasulullah”. Apabila kita menyebut kalimah ini, rasakan diri
kita adalah hamba Allah, lalu seterusnya perlu kita tanyakan
bagaimanakah caranya hendak menjadi hamba Allah yang sebenar?
Lalu menyusul pengertian kalimah keduanya: “Wa asyhadu anna
muhammadar Rasulullah.” Iaitu dengan mencontohi Rasulullah saw.
Bagindalah individu yang pada setiap masa merasakan dirinya hamba.
Ketika menjadi seorang ayah, seorang jeneral, seorang Nabi, malah
sebagai pemimpin, baginda tetap merasakan diri sebagai hamba kepada
Tuhannya.
Bagaimana rasa diri hamba? Ya, umpama seorang hamba, tentu dirinya
tidak layak melakukan sesuatu sesuka hati. Apa yang dilakukan mesti
mengikut arahan majikan atau tuannya. Jadi dengan amalan selawat ini,
kita berharap menjadi hamba Allah setiap masa,di setiap tempat dan
setiap ketika. Maka dengan itu bererti hubungan kita dengan Rasulullah
juga adalah hubungan yang berterusan. Sebab kita hendak jadikan
Rasulullah ini sebagai teladan bagaimana menjadi hamba Allah sebenar
pada setiap masa dan ketika.
Allah swt bukan sahaja menurunkan Islam dalam bentuk ilmu dan ilmiah.
Dia juga turunkan Islam dalam bentuk amaliah atau praktiknya, yakni
melalui Rasulullah. Jadi Al-Quran itulah dalam bentuk ilmu, Rasulullah
itu pula mempraktikkan isi Al-Quran. Jadi inilah yang Siti Aisyah
katakan, jika kamu ingin melihat Al-Quran hidup, maka tengoklah peribadi
baginda dalam kehidupan seharian. Dan bagi kita umat Islam akhir zaman
ini… tidak ada jalan lain untuk ‘melihat’ keperibadian Rasulullah selain
melihat sejarah hidup Rasulullah SAW.
Peri pentingnya sirah Rasulullah, ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
“Didiklah anak-anak kamu tiga perkara: Kecintaan kepada nabi kamu, kecintaan kepada keluarga baginda dan membaca Al Quran.”
Justeru, generasi Salafussoleh begitu bersemangat mengajarkan
anak-anak mereka tentang sirah Nabi Muhammad SAW sehingga diseiringkan
dengan pengajaran Al quran. Sebab sirah merupakan penterjemah
makna-makna Al Quran secara praktikal. Imam Zainul Abidin bin Husin bin
Ali RA berkata:
“Kami mengetahui soal perang-perang Rasulullah SAW sebagaimana kami mengetahui surah-surah yang ada dalam Al Quran.”
Mudahkan mencintai atau mencontohi Rasulullah?
Kita tidak pernah berjumpa Rasulullah. Kita hanya mendengar kisah
kehebatan iman dan akhlak baginda sejak di bangku sekolah. Jadi,
bagaimana hendak menyemai cinta kepada Nabi Muhammad SAW?
• Menerima seruan dan dakwah Nabi Muhammad SAW.
Apa yang telah disampaikan oleh rasulullah kita terima dan kita terus
laksanakan. Semakin cepat kita menunaikan seruannya maka semakin
bertambah kecintaan kita terhadapnya. Sayidina Ali misalnya, telah
menerima seruan dakwah Rasulullah tanpa harus berbincang terlebih dahulu
dengan sesiapapun, hatta ayah-ibunya sendiri.
Tidak ada gunanya mengaku cinta kalau tidak dibuktikan dengan
perbuatan. Kata cinta, tetapi sunnah baginda kita cerca atau pinggirkan.
Malangnya, inilah sikap kebanyakan umat Islam kini. Mengaku cinta,
tetapi bergaul bebas, mendedahkan aurat, makan riba, minum arak, menipu,
rasuah. Baginda sangat bencikan riba, tetapi ada dikalangan umat Islam
yang masih mengamalkan riba.
• Mencintai apa yang dicintai Nabi.
Apa sahaja yang dicintai oleh nabi Muhammad SAW dari segi cara hidupnya –
cara solat, puasa, mentadbir, menguruskan perniagaan, mengatur
rumahtangga, makan, minum, pakaian sehingga cara baginda masuk tandas –
akan kita teladani.
• Membenci siapa yang membenci nabi.
Siapa sahaja yang memperleceh-lecehkan kedudukan nabi Muhammad adalah
musuh kita. Kita tidak akan berkawan apalagi bersahabat dengan mereka
yang terang-terangan menghina nabi Muhammad SAW. Tidak kira mereka itu
kaya, berkuasa atau ternama sekalipun. Siapa yang membenci Rasulullah
itulah musuh kita.
Sebab itu umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya Nabi Muhammad diperlecehkan melalui lukisan, tulisan atau kata-kata.
• Menjaga hadis-hadis Nabi.
Maksud menjaga hadis di sini ialah dengan menghafaz dan mengamalkannya.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Samurah bin Jundub RA bahawa
dia berkata:
“Di zaman Nabi, aku adalah seorang anak kecil, namun aku turut pula
menghafaz hadis dari baginda, sedangkan orang-orang di sekelilingku
semuanya lebih tua dariku.”
Ibarat seorang yang sedang bercinta. Kebiasaannya seseorang itu akan
mengikut atau menyebut-nyebut nama orang yang dicintainya. Dia mesti
mempunyai rasa suka atau cinta kepada orang itu.Kemudian rasa cinta itu
dilahirkan dalam tindakan. Jadi cinta pada Rasulullah itu bukanlah
semata-mata dengan kata, tetapi dengan tindakan. Oleh itu, dalam
kehidupan ini, setiap tindakan mestilah menunjukkan kecintaan kepada
Rasululah. Misalnya, acara mencukur rambut bayi dan kenduri aqiqah.
Majlis Aqiqah dan mencukur rambut diraikan ibu dan ayah sebagai tanda
kesyukuran kepada Allah swt. Ia adalah sunnah Rasulullah yang mulia.
Ketika anak Rasulullah iaitu Fatimah az-Zahra melahirkan Hassan, Nabi
pun berkata:
“Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya. Kemudian bersedekahlah dengan mengeluarkan perak seberat timbangan rambutnya.”
Seorang ulama Syeikh Dahlawi Rahimullah mengulas tentang hadis di atas dengan katanya:
“Sesungguhnya anak itu jika telah berpindah dari janin menjadi bayi
merupakan sebuah nikmat yang wajib disyukuri, Bentuk kesyukuran yang
terbaik adalah dengan menggantikannya. Mengingatkan bahawa rambut bayi
merupakan bahagian dari perkembangan janin, dan menghilangkannya
merupakan petanda kemerdekaannya menuju perkembangan sebagai anak, maka
seharusnya bila rambut itu ditimbang (nilai) dengan perak.”
Setelah ditimbang, berat rambut Hassan adalah sedirham. Sedirham
itulah disedekahkan. Kita mungkin antara bayi-bayi kecil satu ketika
dulu didendang dengan selawat dan marhaban. Jika anak itu lelaki,
diberikan permulaan nama “Muhammad” – Muhammad Rasul, Muhammad Taufik,
Muhammad… supaya mendapat keberkatan Allah swt. Lebih-lebih lagi ayah
dan ibu mengimpikan anaknya nanti membesar dan mencontohi akhlak Nabi
Muhammad saw.
Sabda Rasulullah SAW:
“Namakanlah anak-anakmu dengan nama-nama para Nabi. Sedangkan nama yang
paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdul Rahman dan nama yang
paling benar adalah Harith dan Hamman, sedangkan nama yang paling buruk
adalah Harb dan Murrah.”
Apabila anak lelaki sudah membesar, diadakan pula majlis berkhatan
yang juga diiringi dengan selawat dan puji-pujian membesarkan Allah.
Sesetengah masyarakat setempat mengadakan acara tambahan bagi meraikan
atau menyemarakkan semangat kanak-kanak. Antaranya acara mandi
beramai-ramai di sungai, berarak sambil didukung atas bahu bapa sendiri
dan sebagainya. Semuanya dengan tujuan untuk menggembirakan hati
anak-anak yang akan berkhatan.
Berkhitan sebenarnya satu perintah. Nabi saw pernah bersabda:
“Termasuk fitrah (kesucian) adalah berkumur, menghirup air ke dalam
hidung (ketika berwuduk), mencukur misai, bersiwak, memotong kuku,
mencabut bulu ketiak, mencukur rambut kemaluan dan berkhitan.”
Apabila usia meningkat remaja, teringin pula berumahtangga. Majlis
pernikahan diatur. Termeterailah ikatan janji untuk berkasih dan
bercinta selama-lamanya dengan iringan syahadah dan selawat. Ketika
itu, kedua-dua pengantin berharap dapat hidup sebagai suami isteri yang
bahagia dan harmoni. Rasulullah SAW bersabda:
“Yang lebih utama lagi ialah lidah yang berzikir, hati yang bersyukur
dan isteri yang solehah yang akan membantu seorang mukmin untuk
memelihara keimanannya.”
Jika rumahtangga mencontohi rumahtangga Rasulullah, kehidupan akan dipenuhi kebahagiaan dan keberkatan. Sabda Rasulullah SAW:
“Mahukah aku beritahukan sesuatu yang dapat dijadikan sebagai harta
simpanan seseorang? Iaitu isteri yang solehah. Jika seorang suami
memandangnya, dia membuatnya gembira jika ia memerintahkannya, dia
mematuhi, dan jika dia pergi, maka dia akan selalu menjaganya.”
Sebaliknya jika kehidupan rumahtangga tidak dipandu iman, kehidupan bagaikan neraka dunia sebelum ke neraka sebenarnya.
Sehinggalah apabila kita mati, kita diajar bagaimana bertalkin di
dalam bersolawat untuk Rasulullah. Terbuktilah setiap kehidupan kita
dari sejak lahir sehingga kini mesti berhubung dengan Rasulullah saw.
Oleh kerana itu jadikanlah berselawat itu teman dalam kehidupan kita.
Kelebihan bersolawat
Pengalaman kita, doa akan cepat dimakbulkan apabila kita memulai
dengan berselawat. Kita akan dapat ketenangan hati. Menyebut nama orang
soleh (dalam konteks ini Rasulullah SAW) akan mendatangkan rahmat. Dan
yang paling penting ialah dengan bersolawat kita dapat keberkatan dan
syafaat. Berselawat adalah sumber kepada syafaat. Syafaat Nabi di
akhirat nanti terdapat 5 jenis:
• syafaat untuk membebaskan umat manusia daripada dahsyatnya suasana di Padang Mahsyar
• syafaat untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa sebarang hisab atau perhitungan
• syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukuman setimpal, supaya
hukuman itu kemudian ditarikbalik.
• Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka
• Syafaat untuk menaiki ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.
Selawat juga mengundang keberkatan hidup di dunia. Apabila kita
menyebut nama orang-orang soleh, ia mendatangkan rahmat. Rahmat
itulahkeberkatan… Bila ada keberkatan, insya-Allah akan ada kelebihan
yang berterusan dan berkekalan.
Keberkatan yang sangat diharapkan ialah keberkatan dari segi rezeki.
Kedua, dari segi umur kita, ketiga daripada usaha kita dan keempat, dari
segi ilmu. Ini bermakna walaupun ada masanya kita hanya mendapat
‘sedikit’ tetapi dengan keberkatan, insya-Allah, yang sedikit itu adan
mencukupi. Misalnya, umur walaupun pendek tapi banyak bakti dan
jasanya. Inilah yang terjadi kepada Imam Nawawi, Imam Syafie dan Umar
Ibn Aziz.
Jumlah kitab karangan Imam Nawawi misalnya, tidak sepadan dengan
umurnya. Usianya hanya sekadar 40 an tetapi beliau sangat produktif.
Begitu juga Umar Ibn Aziz, yang hanya sempat menjadi khalifah selama 2
tahun tetapi tempoh pendek itu dipenuhi dengan kecemerlangan yang tidak
dapat ditandingi oleh khalifah-khalifah Bani Umayyah yang lain. Inilah
pentingnya mendapat ‘umur’ yang berkat.
Manakala ilmu yang berkat pula ialah ilmu yang mampu menyuluh
kelemahan diri, menyuluh kebesaran Allah dan menambah amalan soleh kita.
Rezki yang berkat pula akan menjadi sumber kekuatan untuk melaksanakan
ketaatan, baik ketaatan kepada Allah mahupun khidmat sesama manusia.
Inilah peri pentingnya kita berselawat sebelum berdoa.Tanpa
berselawat sekaligus putus hubungan dengan Allah. Bila hubungan kita
putus dengan Allah, berbagai-bagai kesusahan akan berlaku. Yang paling
kita takuti, hilang keberkatan dalam hidup. Ini akan menyebabkan rezeki
kita walaupun banyak tetapi masih tidak cukup-cukup malah melalaikan
kita pula.
Umur kita mungkin panjang tapi sayangnya sarat pula dengan dosa.
Usaha kita mungkin banyak, tapi tidak dapat meraih kejayaan. Ilmu pun
mungkin banyak, tapi menyebabkan kita lalai dan derhaka kepadaNya. Makin
tinggi ilmu, semakin ego. Jadi, marilah kita banyak berselawat, justeru
ia adalah sumber keberkatan dalam kehidupan!
"Orang yang berjihad kerana ALLAH.. Jiwanya takkan layu.. Jiwanya takkan lesu... jiwanya tak mudah patah lalu goyah... Kerana jalan tarbiyyah yang dia lalui adalah ketaatan kepada ALLAH.. Seorang pemburu syahid... Dibelakangnya tertegak syariat cinta kepada ALLAH... Takkan senang baginya untuk cair kerana dunia... Sedangkan buruannya adalah hari akhirat.. Biarpun dia seolah2 rasa keseorangan.. Biarpun dia terasa seolah2 terlau penat... Biarpun dia terasa seolah2 hilang penyusunan jadual kehidupan.. Biarpun dia merasakan seolah2 hilang daya kekuatan.. NAMUN... ALLAH SWT kuatkan dia dihadapan manusia.. Walaupun dia selalu melutut lemah disisi ALLAH.. Sujudnya dengan penuh air mata.. Dia seorang perwira... Pemburu cinta sang Pencipta... Dalam sarang hatinya hanya dipenuhi cinta ILLAHI... Kerana rasa CINTA ILLAHI itulah... Kerana ketaatan kepada NABI SAW itulah... Kerana keyakinan kepada AL-QURAN itulah... Dia memilih jalan perjuangan... Ingin sekali merasa akrab bersama NABI SAW .... Dengan cara mencontohi suka duka perjuangan NABI SAW.. Biarpun dirinya seolah2 tiada riangnya.. Tiada normalnya... Tiada rehatnya... Namun apabila bekerja untuk ISLAM... Seolah2 dia cuti sepanjang masa... Seolah2 dia rehat setiap ketika... Kerana apa yang dia lakukan adalah untuk berehatkan di akhirat sana... Ku kagum pada dirinya... Menginfaqkan diri untuk perjuangan ISLAM... Tetap tinggi keyakinan pada ALLAH... Tetap positif membina kekuatan.. Walaupun getir hidup hanya dikongsi dengan TUHAN..."
bila Dia memanggil pun tidak kita sahuti panggilanNya
yang disuruh pun selalu tidak kita penuhi
yang dilarang pun selalu juga kita langgari
sedangkan Dialah yang Maha Menciptakan kita
Dialah yang memegang dan menguasai nyawa kita
Tanpa Dia...
kita tidak punya ruang untuk bernafas di muka bumi
Tidakkah kita malu padaNya
ALLAH Al-Khaliq, Ar-Rahman, Ar-Rahiim???
Perhatikanlah dialog Rasulullah S.A.W dengan para sahabat
dalam sebuah majlis.
Baginda bersabda, ”Malulah kepada Allah dengan
sebenar-benarnya.” Para sahabat menjawab, ”Wahai Nabi Allah, kami memang malu
kepada Allah dan sentiasa memuji-Nya.” Nabi bersabda, ”Bukan begitu yang saya
maksudkan. Tetapi, orang yang malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya
mestilah menjaga kepala dan fikiran yang terkandung di dalamnya. Hendaklah juga
menjaga perut dan apa yang dikumpulkan di dalamnya, dan hendaknya dia
mengingati maut dan bencana yang akan menimpanya. Siapa yang menginginkan
akhirat, maka dia mesti sanggup meninggalkan kegemerlapan hiasan dunia.”
(Riwayat Imam At-Tirmizi)