Terima Kasih krn sudi FOLLOW blog saya (^_^)

Wednesday, February 15, 2012

"Syurga itu benar" di dunia, kita hanya umpama "tetamu senja", tiba masanya kita akan pulang jua...jadilah tetamu senja yang menuju syurga.

Ketika perang Qadisiah, Sa;ad bin Abi Waqqah memerintahkan Rabi' bin Amir untuk menghadap Rustam, panglima perang Parsi. Rustam bertanya kepada Rabi' tentang tujuan kedatangan pasukan Islam ke negaranya. Dengan lantang Rabi' menjawab:

"Kami datang untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah. Kami ingin membebaskan manusia dari dunia yang sempit menuju akhirat yang luas.Dan dari penzaliman kepada keadilan Islam"

Malangnya keadaan sebaliknya berlaku pada masa kini. Seruan panglima Rabi' bin Amir kepada tentera kafir itu "terkena batang hidung" umat Islam sendiri yang semakin alpa dengan kenikmatan dunia dan melupakan kenikmatan syurga.

Kita hakikatnya adalah "warganegara" akhirat, bukan dunia. Dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicptakan untuk akhirat. Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang hakiki dan abadi. Di sana ada syurga dan neraka yang merupakan destinasi terakhir kembara setiap insan. Di situlah nanti manusia akan menemui keputusan muktamad, sama ada dalam nikmat yang berkekalan atau sebaliknya.

Ketika hidup di dunia, Allah telah banyak kali mengingatkan manusia agar tidak tertipu dengan kehidupan dunia yang sementara. Nikmat atau azab di dunia ini sangat kecil berbanding nikmat di syurga atau azab di neraka. Allah mengingatkan dalam ayat-Nya yang bermaksud: "Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu adalah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui." (surah Al-'Ankabut:64)

Dunia ini boleh menjadi jambatan ke syurga atau neraka. Semuanya bergantung kepada keimanan dalam hati dan amalan bagi setiap anggota. Mereka yang yakin kepada hari akhirat dan mengharapakan syurga, akan menggunakan seluruh keupayaan untuk melakukan ketaatan. Dunia ini tempat untuk mengumpul sebanyak-banyak pahala. Manakala mereka yang tidak yakin kepada hari kebangkitan akan mensia-siakan hidup dengan melakukan berbagai-bagai kederhakaan. Dunia menjadi tempat menjana dosa.

Orang ynag beriman bersiap sedia dengan pelbagai bekalan untuk berpindah ke akhirat sama seperti seorang yang hendak melancong ke luar negara. Jika di negara tempat tujuan itu dalam musim dingin, mereka bersedia dengan baju tebal. Jika di sana mata wang dolar diperlukan, mereka perlu menukar wang tempatan. Begitulah seharusnya kita bersedia untuk hidup di akhirat yang "pakaiannya" takwa, dan "mata wangnya" pahala.

Satu hari nanti pasti kita akan pergi tanpa kembali. Kita ni milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Pastikah kita kembali ke syurga bukan ke neraka?. Kenangkanlah saudara-saudara, kenalan dan sahabat-sahabat serta orang yang telah kembali terlebih dahulu daripada kita. Di mana mereka?. Apa nasib mereka sekarang?. Kita tidak tahu, tetapi yang pasti masa untuk mereka menyediakan bekalan sudah tamat. Mereka hanya menunggu keputusan muktamad.

Kita? Ya, buat kita, usia ini masih bersisa. Peluang bertaubat dan menyediakan bekalan masih ada. Setiap detik dalam hidup ini sangat berharga kerana itulah modal meraih pahala dan itulah jalan menuju syurga.

-Pahrol Mohammad Juoi-

are you like this? click here...hehe

rayuanku...