Terima Kasih krn sudi FOLLOW blog saya (^_^)

Thursday, July 5, 2012

Umat Muhammad menjadi Umat Termulia

Kedudukan Nabi Muhammad sebagai makhluk termulia di sisi Allah menjadikan umat baginda sebagai umat yag paling mulia di antara umat-umat lain. Allah memuji umat Nabi Muhammad sebagaimana yang tertulis dalam ayat-ayat-Nya,

"Kalian (wahai umat Islam) adalah sebaik-baik umat yang muncul di antara seluruh manusia yang pernah ada"- Surah Ali-Imran:110

Wahab bin Munabbih mengisahkan ketika Nabi Musa membaca kandungan ayat-ayat Taurat, terlihat olehnya kelebihan umat Nabi Muhammad.

Beliau berkata, "Ya Tuhanku, siapakah gerangan umat yang dirahmati seperti yang kudapati dalam ayat-ayat ini?"

Maka Allah menjelaskan, "Mereka itulah umat Muhammad, mereka rela dengan sedikit rezeki yang Aku berikan, maka Aku pun rela dengan amalan yang sedikit daripada mereka. Akan Aku masukkan mereka ke dalam syurga dengan kesaksian la ilaha ilallah!"

Nabi Musa kembali mengadu kepada Allah, "Aku dapati dalam ayat-ayat ini, satu umat yang akan dibangkitkan pada Hari Kiamat dengan wajah-wajah yang bercahaya laksana bulan purnama. Jadikan mereka itu umatku, ya Allah!"

Lalu Allah menegaskan, "Mereka itu adalah umat Muhammad. Aku bangkitkan mereka itu pada Hari Kiamat dengan wajah-wajah yang bersinar dan bercahaya disebabkan dari bekas-bekas wuduk dan sujud mereka"

Lalu Musa kembali berkata, Aku dapati dalam ayat-ayat ini satu umat yang mengerjakan solat lima kali sehari semalam, puasa di bulan Ramadhan kerana Mu, menunaikan  haji ke Baitul Haram kerana Mu, menyerukan perbuatan yang makruf dan mencegah perbuatan munkar, menyimpan kitab suci di dada mereka, sehingga terbukalah pintu-pintu langit dan turunlah rahmat bagi mereka. Jadikanlah mereka itu umatku, ya Allah!"

Allah lalu berkata, "Mereka itu adalah umat Muhammad."

Tidak hanya itu, Musa kembali berkata, "Ya Allah, Engkau sudah menganugerahkan segala kebaikan kepada Ahmad (Muhammad) beserta umatnya, maka jadikanlah aku sebagai umat Muhammad!"

Maka Allah menjelaskan, "Tidak mungkin wahai Musa, hamba yang paling Aku cintai itu Aku utuskan selepas kamu. Wahai Musa, sesungguhnya Aku sudah memilihmu di antara manusia bagi menyampaikan risalah dan kalam-Ku, maka terimalah apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah engkau menjadi orang-orang yang bersyukur"-surah Al-A'raf:144



Himpunan Hijau Ke Putrajaya (Xpresi Hijau Anak Muda)

Kamikah itu, ya Rasulullah?

Suatu hari, ketika Rasulullah saw duduk bersama para sahabat, tiba-tiba Rasulullah saw berkata sambil memegang janggutnya, "Alangkah rindunya aku mahu berjumpa dengan saudara-saudaraku"

Para sahabat bertanya, "Bukankah kami ini saudara-saudaramu, ya Rasulullah?"

"Kalian sahabat-sahabatku, dan aku mencintai kalian. Tetapi aku merindukan saudara-saudaraku."

"Siapa mereka, ya Rasulullah?"

Air mata Rasulullah menitis membasahi janggutnya dan baginda berkata, 

"Saudara-saudaraku adalah orang-orang yang tidak hidup sezaman denganku, mereka yang tidak pernah berjumpa denganku, tetapi mereka mencintaiku, membenarkan kata-kataku dan beriman kepadaku. Aku rindu kepada mereka, aku mencintai mereka"

Para sahabat menundukkan wajah mereka lalu ikut menangis.

Ya Rasulullah
Engkau ingin berjumpa dengan mereka,
Kamikah itu, ya Rasulullah?
Engkau rindukan mereka,
Kamikah itu, ya Rasulullah?
Engkau dambakan mereka,
Kamikah itu, ya Rasulullah?
Duhai Rasulullah
Engkau ingin bertemu dengan mereka yang tidak pernah engkau jumpai
Kamikah itu, ya Rasullah?
Mereka yang bibirnya selalu bergetar mengucapkan selawat bagimu
Kamikah itu ya Rasulullah?
Engkau ingin datang memeluk mereka,
Bagi memuaskan kerinduanmu
Kamikah yang engkau rindukan itu, ya Rasulullah?
Engkau akan datang kepada mereka yang mngunjungimu dengan selawat
Dengarlah selawat kami bagimu, ya Rasulullah
Allahumma shalli ala Muhammad wa ala ali Muhammad
Maka hadirlah engkau dalam jiwa kami,
Dalam mimpi-mimpi kami
Masih kami ingat sabdamu,
"Barangsiapa datang kepadaku, aku akan memberinya syafaat di Hari Kiamat"
Labbaika ya Rasulullah, kami datang
Maka, wahai yang mulia di sisi Allah,
 Berikanlah syafaat kepada kami di sisi Allah

Monday, June 18, 2012

cukup bagiku - opick

cukup bagiku Allah, penuhi jiwa ini dengan satu rindu
rindu untuk mendapatkan rahmat-Mu....

Wednesday, May 23, 2012

Dia Pernah Mencintaimu...Adakah Engkau Pernah Mencintainya?....


“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan
.
Persoalan.



Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?

“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Aneh.

Mencintai insan yang belum ada.

Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.

Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.

Cinta luar biasa.

Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.

SENYUMAN PERPISAHAN

Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,

Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.

“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.

Wajah itu mengubat rindu mereka.

Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.

Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.

“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya.
Kita.

SEBUAH PERTANYAAN CINTA

Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….

“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]

sumber: http://saifulislam.com/?p=7648

Sunday, May 20, 2012

Zuhud Seorang Pemuda


Terdapat seorang pemuda pada zaman Rasulullah SAW,yang baik dan rajin beribadah. Suatu hari, pemuda tersebut datang menemui Rasulullah SAW dan menyatakan hajatnya dan meminta pandangan daripada Rasulullah untuk mengahwini seorang gadis yang solehah. Maka Rasulullah pun memberi kebenaran kepadanya. Setelah mendengar kata-kata Rasulullah,maka pemuda tersebut menemui wali gadis tersebut iaitu bapa kepada gadis yang dihajatinya. Maka dinyatakan hasrat hati pemuda itu untuk mengahwini anak gadis  lelaki tersebut. Pemuda tersebut tidaklah selembut Abu Bakar,tidaklah segagah Umar al-Khattab, tidak sekaya Abdul Rahman bin Auf dan tidak pula setampan Ali bin Abu Talib. Maka ditolak permintaan pemuda tersebut kerana dirasakan tidak sepadan pemuda itu untuk mengahwini anak gadisnya yang ternyata menjadi buruan para pemuda lain.

     Setelah itu,pulanglah pemuda itu  dengan hampa kerana hajatnya itu tidak diterima oleh bapa si gadis. Ternyata, perasaan hampa pemuda itu jelas terlihat pada wajahnya dan pemuda tersebut datang menemui Rasulullah untuk memberitakan bahawa hajatnya itu ditolak. Mendengar khabaran tersebut,maka Rasulullah SAW sendiri menemui wali gadis tersebut dan mengatakan bahawa,”sesungguhnya aku membawa pinangan dari seorang pemuda untuk anak gadismu”. Bapa gadis itu bertanya,”siapa pemuda tersebut?” Rasulullah menjawab,dialah pemuda yang engkau tolak pinangannya.” Mendengar kata-kata Rasulullah,lantas membuatkan bapa gadis itu terkejut lantas bapanya mendapatkan anak gadisnya. Maka, gadis yang solehah itu berkata pada bapanya,”tiada pinangan yang lebih baik daripada pinangan yang dibawa oleh Rasulullah sendiri.” 

     Mendengar kata-kata anak gadisnya yang yakin akan kebenaran dan barakah yang dibawa oleh Rasulullah,maka fahamlah bapanya bahawa anak gadisnya sedia menerima pemuda tersebut sebagai suaminya.

     Maka bersatulah dua jiwa yang sama-sama ada cinta Allah dan Rasul di hati mereka. Berpadu dan bertambah kuat cinta mereka pada Allah dan Rasul. Pemuda yang soleh dan gadis yang solehah. Pada malam pertama selepas pernikahan, si isteri pun mempersiapkan diri untuk menerima layanan dari tetamu istimewanya,manakala si suami,pemuda itu tadi terus berteleku di tikar sembahyang dengan  solat, zikir dan doanya sehinggalah si isteri itu terlena kerana terlalu lama menunggu.

     Malam kedua, seperti biasa si isteri yang faham,mungkin kerana kepenatan,maka suaminya tidak dapat bersamanya semalam. Masih setia menunggu suaminya itu, namun si suami masih memilih untuk berada di hamparan tikar sembahyang berbanding menikmati keselesaan hamparan tilam lembut yang selayaknya sebagai pengantin yang dirai. Perkara tersebut berlanjutan sehinggalah ke malam yang ketiga. Maka dengan rasa tertanya-tanya terhadap sikap suaminya, si isteri menyampaikan khabar suaminya kepada Rasulullah kerana inginkan kepastian. Masakan seorang suami yang sangat ingin berkahwin dengan wanita yang dihajatinya, seolah-olah membiarkan sahaja isterinya itu setelah mendapat apa yang dihajati. Apakah benar tindakan yang dilakukan seorang lelaki soleh terhadap isterinya? Berbagai-bagai pertanyaan timbul di benak fikiran isteri. Setelah khabar tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW datang menemui pemuda tersebut lantas bertanya tentang kesahihan apa yang diketahui Baginda SAW. 

“Apakah benar selama kau berkahwin dengan isterimu,kau membiarkan dia keseorangan pada waktu malam sedangkan kau berada di tikar sembahyang?” Tanya Rasulullah SAW.

“Benar wahai Rasulullah.”

“Mengapa kau tidak tunaikan hak yang sepatutnya isterimu nikmati?”

Maka pemuda itu menjawab pertanyaan Rasulullah dengan tenang.

“Wahai Rasulullah, aku baru sahaja bernikah, dan aku hanya mengambil beberapa malam bermula aku dinikahkan untuk bersama Allah,mengabdikan diriku sepenuhnya kepada Allah yang sangat aku kasihi dan cintai,juga sebagai tanda syukurku kepada Allah atas anugerah-Nya mengurniakan aku seorang isteri yang solehah lagi cantik akhlak dan budinya.”

Mendengar jawapan itu, terlakar pada riak wajah Rasulullah tanda puas hati dan yakin dengan jawapan yang diberikan pemuda tersebut.

     Masya-Allah,betapa hebatnya jiwa seorang pemuda. Pemuda yang sentiasa tertaut hatinya kepada cinta Allah. Pernikahannya itu benar-benar ikhlas kerana Allah. Mengharapkan semaian cinta Allah melalui pernikahan.

Monday, May 14, 2012

Selawat Thobibiyah

"Ya Allah, semoga Engkau curahkan selawat dan salam kepada Junjunganku, Kekasihku, Pengubat hatiku, jiwa dan ragaku iaitu Junjunganku yang menjadi Utusan Allah, Muhammad bin 'Abdillah, Insan yang jujur dan terpercaya. Dan semoga selawat dan salam juga tercurah kepada semua keluarga dan sahabat baginda"



Bila kita kenal sesuatu yang indah, baik dan benar, kita akan jatuh cinta. Bila sudah cinta, kita banyak mengingat apa yang kita cintai itu. Dan bila kita banyak mengingat, pasti banyak pula kita menyebutnya… Kata orang tua dahulu,  bila hati teringat, mulut akan menyebut!
Jadi, tanda cinta kita kepada sesuatu, banyaklah kita menyebut-nyebutnya. Dan begitulah kitaran cinta kepada Rasulullah saw. Tanda kenal, cinta. Tanda cinta, ingat. Dan tanda ingat, banyak menyebut… Semakin banyak ingatan, semakin banyka pula sebutan. Dan di situlah signifikannya selawat!

Ya, semoga Allah berikan hati yang sentiasa ingat kepada Rasulullah saw lalu kita mampu berselawat ke atas baginda – sebagai tanda kasih, tanda cinta kepadanya. Tidak cukup jika berselawat pada Hari Keputeraannya atau membacanya hanya ketika dalam tahiyyat awal atau akhir, sebaliknya jadikan ia basahan lidah setiap masa – gembira atau berduka, ketika ramai atau bersendirian, siang mahupun malam.

Sebenarnya, bukan sahaja manusia dituntut berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, malah Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke atas baginda. Pujian daripada Allah dan para malaikat ini justeru ketinggian akhlak dan keperibadian baginda.
Firman Allah swt:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna-sempurna salam.”
(Al-Ahzab 56)

Bayangkan, tanpa Rasululah alam ini tidak akan diberkati. Kedatangannya adalah untuk memberi rahmat untuk alam ini. Alam itu gelap gelita, Rasulullah adalah penerang kepada penghuni-penghuni dunia. Kata bijak pandai, dunia tidak akan aman, selagi manusia yang menghuni di atasnya tidak berakhlak. Dan inilah misi utama kedatangan Rasulullah SAW yakni memberi rahmat kepada alam dengan berusaha memperbaiki akhlak manusia.

Firman Allah:
“Dan tidak diutuskan (nabi Muhammad SAW) melainkan untuk memberi rahmat buat sekelian alam.”

Rahmat kedatangan Rasulullah ini adalah dalam bentuk akhlak yang paling murni untuk dipelajari dan diteladani oleh semua manusia. Ini ditegaskan sendiri oleh sabda baginda:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.”

Tanpa Rasulullah tidak akan ada kasih-sayang sejati dikalangan manusia. Ibu-bapa tidak akan dihormati, anak-anak tidak akan disayangi, kaum wanita tidak akan dilindungi, yang miskin tidak akan dibela, yang kaya tidak akan pemurah, yang berkuasa tidak akan adil, yang diperintah tidak akan taat. Cara hidup Jahiliyah yang serba kejam, hina dan kucar-kacir akan terus bermaharajalela. Namun kedatangan baginda telah memberhentikan semua itu.

Baginda berjuang bermula dengan seorang diri. Diseru kaum keluarga terdekat dan sahabat terapat. Daripada Siti Khadijah, kemudian Sayidina Ali serta Sayidina Abu Bakar… Sedikit demi sedikit. Dan 23 tahun kemudian, ada lebih 124,000 para sahabatnya yang bertebaran di Makkah, Madinah dan seluruh jaziratul Arab. Baginda rela kehilangan apa sahaja demi menyelamatkan umatnya daripada kejahilan dan kesyirikan. Daripada cacian, dihalau hinggalah ancaman bunuh – semuanya telah baginda lalui demi perjuangan yang suci.


Jika pada hari ini kita memuja pemimpin yang berjasa… maka siapakah pemimpin yang lebih besar jasanya daripada Rasulullah SAW? Bagindalah yang telah membebaskan kita daripada kesempitan hidup dunia untuk menikmati kelapangan hidup di akhirat. Baginda jualah yang membebaskan kita daripada penghambaan sesama manusia untuk menjadi hamba keoada Allah. Baginda yang mengeluarkan kita daripada ksempitan dunia untuk menuju kelapangan akhirat.
Soalnya, bagaimana kita memperingati jasa-jasanya itu?

Ya, kita mesti berselawat ke atas baginda. Kelebihan solawat telah banyak kita dengar. Namun apakah yang Allah swt benar-benar inginkan daripada selawat kita? Allah swt inginkan supaya hubungan kita dengan Rasulullah swt adalah berterusan. Oleh sebab itu kalimah, “Asyhaduallah ila ha illallah.”diikuti kemudiannya dengan kalimah “wa ashaduanna Muhammadar Rasulullah”. Apabila kita menyebut kalimah ini, rasakan diri kita adalah hamba Allah, lalu seterusnya perlu kita tanyakan bagaimanakah caranya hendak menjadi hamba Allah yang sebenar?

Lalu menyusul pengertian kalimah keduanya: “Wa asyhadu anna muhammadar Rasulullah.” Iaitu dengan mencontohi Rasulullah saw. Bagindalah individu yang pada setiap masa merasakan dirinya hamba. Ketika menjadi seorang ayah, seorang jeneral, seorang Nabi, malah sebagai pemimpin, baginda tetap merasakan diri sebagai hamba kepada Tuhannya.

Bagaimana rasa diri hamba? Ya, umpama seorang hamba, tentu dirinya tidak layak melakukan sesuatu sesuka hati. Apa yang dilakukan mesti mengikut arahan majikan atau tuannya. Jadi dengan amalan selawat ini, kita berharap menjadi hamba Allah setiap masa,di setiap tempat dan setiap ketika. Maka dengan itu bererti hubungan kita dengan Rasulullah juga adalah hubungan yang berterusan. Sebab kita hendak jadikan Rasulullah ini sebagai teladan bagaimana menjadi hamba Allah sebenar pada setiap masa dan ketika.

Allah swt bukan sahaja menurunkan Islam dalam bentuk ilmu dan ilmiah. Dia juga turunkan Islam dalam bentuk amaliah atau praktiknya, yakni melalui Rasulullah. Jadi Al-Quran itulah dalam bentuk ilmu, Rasulullah itu pula mempraktikkan isi Al-Quran. Jadi inilah yang Siti Aisyah katakan, jika kamu ingin melihat Al-Quran hidup, maka tengoklah peribadi baginda dalam kehidupan seharian. Dan bagi kita umat Islam akhir zaman ini… tidak ada jalan lain untuk ‘melihat’ keperibadian Rasulullah selain melihat sejarah hidup Rasulullah SAW.

Peri pentingnya sirah Rasulullah, ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
“Didiklah anak-anak kamu tiga perkara: Kecintaan kepada nabi kamu, kecintaan kepada keluarga baginda dan membaca Al Quran.”

Justeru, generasi Salafussoleh begitu bersemangat mengajarkan anak-anak mereka tentang sirah Nabi Muhammad SAW sehingga diseiringkan dengan pengajaran Al quran. Sebab sirah merupakan penterjemah makna-makna Al Quran secara praktikal. Imam Zainul Abidin bin Husin bin Ali RA berkata:
“Kami mengetahui soal perang-perang Rasulullah SAW sebagaimana kami mengetahui surah-surah yang ada dalam Al Quran.”
Mudahkan mencintai atau mencontohi Rasulullah?

Kita tidak pernah berjumpa Rasulullah. Kita hanya mendengar kisah kehebatan iman dan akhlak baginda sejak di bangku sekolah. Jadi, bagaimana hendak menyemai cinta kepada Nabi Muhammad SAW?

• Menerima seruan dan dakwah Nabi Muhammad SAW.
Apa yang telah disampaikan oleh rasulullah kita terima dan kita terus laksanakan. Semakin cepat kita menunaikan seruannya maka semakin bertambah kecintaan kita terhadapnya. Sayidina Ali misalnya, telah menerima seruan dakwah Rasulullah tanpa harus berbincang terlebih dahulu dengan sesiapapun, hatta ayah-ibunya sendiri.

Tidak ada gunanya mengaku cinta kalau tidak dibuktikan dengan perbuatan. Kata cinta, tetapi sunnah baginda kita cerca atau pinggirkan. Malangnya, inilah sikap kebanyakan umat Islam kini. Mengaku cinta, tetapi bergaul bebas, mendedahkan aurat, makan riba, minum arak, menipu, rasuah. Baginda sangat bencikan riba, tetapi ada dikalangan umat Islam yang masih mengamalkan riba.

• Mencintai apa yang dicintai Nabi.
Apa sahaja yang dicintai oleh nabi Muhammad SAW dari segi cara hidupnya – cara solat, puasa, mentadbir, menguruskan perniagaan, mengatur rumahtangga, makan, minum, pakaian sehingga cara baginda masuk tandas – akan kita teladani.

• Membenci siapa yang membenci nabi.
Siapa sahaja yang memperleceh-lecehkan kedudukan nabi Muhammad adalah musuh kita. Kita tidak akan berkawan apalagi bersahabat dengan mereka yang terang-terangan menghina nabi Muhammad SAW. Tidak kira mereka itu kaya, berkuasa atau ternama sekalipun. Siapa yang membenci Rasulullah itulah musuh kita.

Sebab itu umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya Nabi Muhammad diperlecehkan melalui lukisan, tulisan atau kata-kata.

• Menjaga hadis-hadis Nabi.
Maksud menjaga hadis di sini ialah dengan menghafaz dan mengamalkannya. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Samurah bin Jundub RA bahawa dia berkata:
“Di zaman Nabi, aku adalah seorang anak kecil, namun aku turut pula menghafaz hadis dari baginda, sedangkan orang-orang di sekelilingku semuanya lebih tua dariku.”
Ibarat seorang yang sedang bercinta. Kebiasaannya seseorang itu akan mengikut atau menyebut-nyebut nama orang yang dicintainya. Dia mesti mempunyai rasa suka atau cinta kepada orang itu.Kemudian rasa cinta itu dilahirkan dalam tindakan. Jadi cinta pada Rasulullah itu bukanlah semata-mata dengan kata, tetapi dengan tindakan. Oleh itu, dalam kehidupan ini, setiap tindakan mestilah menunjukkan kecintaan kepada Rasululah. Misalnya, acara mencukur rambut bayi dan kenduri aqiqah.

Majlis Aqiqah dan mencukur rambut diraikan ibu dan ayah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Ia adalah sunnah Rasulullah yang mulia. Ketika anak Rasulullah iaitu Fatimah az-Zahra melahirkan Hassan, Nabi pun berkata:
“Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya. Kemudian bersedekahlah dengan mengeluarkan perak seberat timbangan rambutnya.”
Seorang ulama Syeikh Dahlawi Rahimullah mengulas tentang hadis di atas dengan katanya:
“Sesungguhnya anak itu jika telah berpindah dari janin menjadi bayi merupakan sebuah nikmat yang wajib disyukuri, Bentuk kesyukuran yang terbaik adalah dengan menggantikannya. Mengingatkan bahawa rambut bayi merupakan bahagian dari perkembangan janin, dan menghilangkannya merupakan petanda kemerdekaannya menuju perkembangan sebagai anak, maka seharusnya bila rambut itu ditimbang (nilai) dengan perak.”

Setelah ditimbang, berat rambut Hassan adalah sedirham. Sedirham itulah disedekahkan. Kita mungkin antara bayi-bayi kecil satu ketika dulu didendang dengan selawat dan marhaban. Jika anak itu lelaki, diberikan permulaan nama “Muhammad” – Muhammad Rasul, Muhammad Taufik, Muhammad… supaya mendapat keberkatan Allah swt. Lebih-lebih lagi ayah dan ibu mengimpikan anaknya nanti membesar dan mencontohi akhlak Nabi Muhammad saw.

Sabda Rasulullah SAW:
“Namakanlah anak-anakmu dengan nama-nama para Nabi. Sedangkan nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdul Rahman dan nama yang paling benar adalah Harith dan Hamman, sedangkan nama yang paling buruk adalah Harb dan Murrah.”

Apabila anak lelaki sudah membesar, diadakan pula majlis berkhatan yang juga diiringi dengan selawat dan puji-pujian membesarkan Allah. Sesetengah masyarakat setempat mengadakan acara tambahan bagi meraikan atau menyemarakkan semangat kanak-kanak. Antaranya acara mandi beramai-ramai di sungai, berarak sambil didukung atas bahu bapa sendiri dan sebagainya. Semuanya dengan tujuan untuk menggembirakan hati anak-anak yang akan berkhatan.

Berkhitan sebenarnya satu perintah. Nabi saw pernah bersabda:
“Termasuk fitrah (kesucian) adalah berkumur, menghirup air ke dalam hidung (ketika berwuduk), mencukur misai, bersiwak, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut kemaluan dan berkhitan.”

Apabila usia meningkat remaja, teringin pula berumahtangga. Majlis pernikahan diatur. Termeterailah ikatan janji untuk berkasih dan bercinta selama-lamanya dengan iringan syahadah dan selawat. Ketika itu, kedua-dua pengantin berharap dapat hidup sebagai suami isteri yang bahagia dan harmoni. Rasulullah SAW bersabda:
“Yang lebih utama lagi ialah lidah yang berzikir, hati yang bersyukur dan isteri yang solehah yang akan membantu seorang mukmin untuk memelihara keimanannya.”

Jika rumahtangga mencontohi rumahtangga Rasulullah, kehidupan akan dipenuhi kebahagiaan dan keberkatan. Sabda Rasulullah SAW:
“Mahukah aku beritahukan sesuatu yang dapat dijadikan sebagai harta simpanan seseorang? Iaitu isteri yang solehah. Jika seorang suami memandangnya, dia membuatnya gembira jika ia memerintahkannya, dia mematuhi, dan jika dia pergi, maka dia akan selalu menjaganya.”
Sebaliknya jika kehidupan rumahtangga tidak dipandu iman, kehidupan bagaikan neraka dunia sebelum ke neraka sebenarnya.

Sehinggalah apabila kita mati, kita diajar bagaimana bertalkin di dalam bersolawat untuk Rasulullah. Terbuktilah setiap kehidupan kita dari sejak lahir sehingga kini mesti berhubung dengan Rasulullah saw. Oleh kerana itu jadikanlah berselawat itu teman dalam kehidupan kita.

Kelebihan bersolawat

Pengalaman kita, doa akan cepat dimakbulkan apabila kita memulai dengan berselawat. Kita akan dapat ketenangan hati. Menyebut nama orang soleh (dalam konteks ini Rasulullah SAW) akan mendatangkan rahmat. Dan yang paling penting ialah dengan bersolawat kita dapat keberkatan dan syafaat. Berselawat adalah sumber kepada syafaat. Syafaat Nabi di akhirat nanti terdapat 5 jenis:
• syafaat untuk membebaskan umat manusia daripada dahsyatnya suasana di Padang Mahsyar
• syafaat untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa sebarang hisab atau perhitungan
• syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukuman setimpal, supaya
 hukuman itu kemudian ditarikbalik.
• Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka
• Syafaat untuk menaiki ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.

Selawat juga mengundang keberkatan hidup di dunia.  Apabila kita menyebut nama orang-orang soleh, ia mendatangkan rahmat. Rahmat itulahkeberkatan… Bila ada keberkatan, insya-Allah akan ada kelebihan yang berterusan dan berkekalan.

Keberkatan yang sangat diharapkan ialah keberkatan dari segi rezeki. Kedua, dari segi umur kita, ketiga daripada usaha kita dan keempat, dari segi ilmu. Ini bermakna walaupun ada masanya kita hanya mendapat ‘sedikit’ tetapi dengan keberkatan, insya-Allah, yang sedikit itu adan mencukupi. Misalnya, umur walaupun pendek tapi banyak bakti dan jasanya. Inilah yang terjadi kepada Imam Nawawi, Imam Syafie dan Umar Ibn Aziz.

Jumlah kitab karangan Imam Nawawi misalnya, tidak sepadan dengan umurnya. Usianya hanya sekadar 40 an tetapi beliau sangat produktif. Begitu juga Umar Ibn Aziz, yang hanya sempat menjadi khalifah selama 2 tahun tetapi tempoh pendek itu dipenuhi dengan kecemerlangan yang tidak dapat ditandingi oleh khalifah-khalifah Bani Umayyah yang lain. Inilah pentingnya mendapat ‘umur’ yang berkat.

Manakala ilmu yang berkat pula ialah ilmu yang mampu menyuluh kelemahan diri, menyuluh kebesaran Allah dan menambah amalan soleh kita. Rezki yang berkat pula akan menjadi sumber kekuatan untuk melaksanakan ketaatan, baik ketaatan kepada Allah mahupun khidmat sesama manusia.

Inilah peri pentingnya kita berselawat sebelum berdoa.Tanpa berselawat sekaligus putus hubungan dengan Allah. Bila hubungan kita putus dengan Allah, berbagai-bagai kesusahan akan berlaku. Yang paling kita takuti, hilang keberkatan dalam hidup. Ini akan menyebabkan rezeki kita walaupun banyak tetapi masih tidak cukup-cukup malah melalaikan kita pula.

Umur kita mungkin panjang tapi sayangnya sarat pula dengan dosa. Usaha kita mungkin banyak, tapi tidak dapat meraih kejayaan. Ilmu pun mungkin banyak, tapi menyebabkan kita lalai dan derhaka kepadaNya. Makin tinggi ilmu, semakin ego. Jadi, marilah kita banyak berselawat, justeru ia adalah sumber keberkatan dalam kehidupan!

are you like this? click here...hehe

rayuanku...