"Cinta adalah hadiah dari Allah untuk dinikmati semua insan... maka bangunkan cinta yang sejati yang terpendam dalam jiwamu yang wujud saat penciptaanmu... dan tetap teruslah Cinta itu wujud dalam dirimu mewajahkan diri dengan pelbagai nikmat yang dikurniakan... pandanglah dengan cahaya, nescaya jiwamu akan melihat cintaNya... yang meliputi dengan cinta itu, engkau sebarkan pada kehidupan di sekelilingmu..." ~Allahumma shalli ala Muhammad wa ala ali Muhammad~
Terima Kasih krn sudi FOLLOW blog saya (^_^)
Saturday, April 23, 2011
Jumpa doa ni kat Sains Muar~(rindunya)
Wednesday, April 13, 2011
Terkenang kembali Kuliah Maghrib En Syuhaimi

Alhamdulillah...dalam membelek buku 'Jalan Pintas bagi Mendekatkan Diri kepada Allah dan Menempah Tiket ke Syurga'-Zaini Ali Akbar.. terjumpa hadith berkaitan keutamaan majlis berzikir.... terus ingatan ini tetancap pada memori dahulu..Hadith ini pernah di bacakan oleh En Syuhaimi pensyarah Matematik di Kolej Matrikulasi Pentarbiyahan Pelajar, KMPP...
Masih segar lagi ingatan majlis ilmu di Surau An-Nur..(^_^)
Allah mengabulkan doa mereka termasuk orang yang banyak dosa yang duduk dalam sebuah majlis zikir, walaupun dia tidak ikut berzikir. Perkara ini disampaikan dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Abu Hurairah. Nabi Muhammad berkata,
"Allah memiliki malaikat-malaikat yang dinamakan Sayyaratu Fudl. Tugas malaikat-malaikat ini adalah mencari tempat-tempat yang berzikir.
Apabila mereka bertemu dengan sebuah tempat orang berzikir, malaikat-malaikat itu duduk bersama-sama orang yang berzikir itu sehingga mereka memenuhi ruangan diantara manusia dan langit. Apabila kumpulan zikir itu selesai, para malaikat pun naik ke langit. Allah kemudian bertanya pada para malaikat 'dari mana kamu datang?' Malaikat menjawab kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di muka bumi. Mereka menyucikan Engkau, mengagungkan Engkau dan memohon Syurga-mu'
Allah bertanya lagi kepada para Malaikat. 'Adakah mereka melihat syurga-Ku? Malaikat menjawab, 'Belum Wahai Tuhan Kami'. Allah terus bertanya, 'Bagaimana seandainya mereka melihat Syurga-Ku?' Para Malaikat menjawab, 'Mereka memohon Engkau meyelamatkan mereka'. Allah bertanya, ' Mereka memohon Aku meyelamatkan mereka dari apa?' Mereka menjawab,' Dari neraka, Ya Allah'. Allah bertanya lagi, 'Adakah mereka melihat neraka-Ku?' Mereka menjawab, 'Belum, wahai Tuhan'.
Seterusnya, Allah bertanya, 'Bagaimana andainya mereka melihat neraka-Ku?' Malaikat menjawab, 'Mereka memohon keampunan-Mu' Allah berkata, 'Sesungguhnya, aku mengampunkan mereka dan Aku memberi mereka apa yang mereka minta. Aku menyelamatkan mereka dari apa yang mereka minta diselamatkan'. Malaikat berkata, 'Wahai Tuhan, si fulan ada di tengah-tengah mereka, dia adalah hamba yang banyak berbuat dosa. Dia hanya lalu di situ lalu duduk bersama mereka' Allah berkata, 'Aku memberi keampunan kepadanya. Mereka adalah suatu kaum yang tidak dapat dicelakakan oleh siapa yang duduk bersama mereka"
(Hadith Bukhari, Muslim, ahmad, Hakim dan Bagawi)
Thursday, March 24, 2011
Detik viruz "LEMAH" itu Menjengah!!

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Memang.
Rasa lemah itu kadangkala menyapa diri.
Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.
Terkadang, cukup satu ujian yang menerpa. Namun, beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah.
Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.
Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.
Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit kembali?
Bagaimana kita menyingkapinya?
Saya percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.
Benar. Memang tidak dapat dinafikan. Saya pun pernah berada dalam kondisi itu. Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri. Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.
Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.
Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.
Namun bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu. Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?
Ok. Perkara ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.
Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.
Bersangka baiklah.
Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia. Pasti punya hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." - [Surah Al-Baqarah, 2: 216]
Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar. Inallaha ma'as sobirin. Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar.
Sabar.
Dan kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat. Agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil dirimu tersenyum.
Kesilapan kita.
Ada masa kita silap.
Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.
Terkadang, kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.
Tidak. Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.
Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan. Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?
"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." - [Surah An-Nisa', 4: 32]
Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.
Bukankah ujian itu datangnya dari Allah? Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?
Namun, silapnya pada kita.
Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon pertolonganNya.
Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna. Kuat, berkuasa.
Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak mengizinkannya.
Wujudnya saat muhasabah.
Manusia jarang sekali mahu bermuhasabah diri. Tatkala disentap dengan ujian yang berat barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap mereka selama ini. Itupun jikalau mereka sedar.
Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah.
Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.
Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?
Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.
Baik.
Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita melaluinya?
Manusia itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat. Namun, tatkala kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan segala kesulitan yang ada. Sedang selama ini, hendak mengingatiNya sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?
"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo'a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan." - [Surah Yunus, 10: 12]
Maka, di situ punya hikmah untuk sama-sama kita renungkan.
Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita.
Dia mahu kita kembali kepadaNya.
Dia mahu kita selamat di 'sana'.
Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah kembali.
Sekarang, jawab dengan hati kita. . .
Benarkah selama ini kita telah meletakkan Dia sebagai matlamat hidup kita?
Atau tanpa sedar kita meletakkan perkara-perkara lain (nikmat-nikmat yang Dia tarik itu mungkin) sebagai tujuan hidup yang mesti kita capai?
Benarkah kita telah meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepadaNya?
Atau mungkin, kita meletakkan pergantungan kita kepada 'tuhan-tuhan' lain (manusia-manusia lain atau diri sendiri) lebih, berbanding Dia Yang Maha Sempurna?
Moga-moga, hati-hati yang bersih itu mampu memberikan jawapan yang jujur.
Kerana saya yakin, pasti semua tahu, bahawa apabila kita sudah mengakui Allah itu sebagai Tuhan kita, seharusnya hanya Dialah yang menjadi matlamat utama hidup kita. Dan hanya kepadaNya jualah tempat kita bergantung segala.
Dan perkara-perkara lain yang 'terkorban' (ketika diuji) itu, tidak lain hanyalah salah satu kurnia dariNya dan juga sebagai ujian pembuktian keimanan manusia.
Seharusnya ia tidak mampu menggoyah matlamat hidup serta keyakinan kita.
Selama ini, adakah itu cara kita melihat?
Penutup: Kembali sedar matlamat dan peranan hidup
Kembalilah menapak bersama matlamat dan hala tuju yang jelas.
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepadaKu." - [Surah Ad-Dzariyat, 51: 56]
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata, 'Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?' Dia berfirman, 'Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.'" - [Surah Al-Baqarah, 2: 30]
Manusia itu seharusnya sedar, bahawa tujuan dia tercipta di muka bumi ini adalah untuk menghambakan diri kepadaNya (melaksanakan tanggungjawab dan perintahNya, serta meninggalkan laranganNya).
Manusia itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya 'Illah' (Tuhan) seluruh semesta.
Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.
Wajar sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah seorang manusia. Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan berputus asa. Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.
Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.
Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita.
Dan pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.
Jika kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya, hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak. Kebangkitan yang ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.
Wahai diri,
Kali ini. . .
Letakkan Dia 'bersama' ketika kamu menapak.
Dan pasti, jalan penyelesaian itu akan mula kelihatan.
" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - [Surah At-Talaq, 65: 2-3]
Monday, March 14, 2011
Wednesday, March 9, 2011
Wednesday, March 2, 2011
Wednesday, February 16, 2011
Nikmatnya dapat menangis....

"Bangun dan sujud pada tengah malam adalah amalan Rasulullah serta para sahabat.
Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.
Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.
Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: "Letakkan pipiku di atas tanah." Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: "Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?" Umar berkata lagi: "Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!"
Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.
Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya: "Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."
Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.
a) Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan
memohon pertolongan- Nya.
b) Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.
Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.
Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.
Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?
Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.
Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?
c) Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)
Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.
Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan
zikrullah juga istighfar.
Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.